Optimumkan kebun, ladang bantu Malaysia jadi pengeluar, pengeksport getah nombor satu dunia – Johari

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi kembali menjadi pengeluar dan pengeksport getah nombor satu dunia menerusi strategi baharu yang memberi fokus kepada pengoptimuman kebun dan ladang getah sedia ada, termasuk kawasan terbiar yang kebanyakannya dimiliki pekebun kecil.

-Advertisement-

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata langkah itu penting bagi mengatasi paradoks semasa yang mana Malaysia sebagai pengeksport utama produk getah, masih terpaksa mengimport getah asli mentah dalam jumlah yang besar.

Beliau berkata, walaupun negara mencatatkan nilai eksport produk getah sebanyak RM33.7 bilion, Malaysia masih mengimport getah asli mentah bernilai RM7.6 bilion pada tahun lalu.

“Pada 2024, Malaysia mengimport 1.0 juta tan getah asli dengan nilai RM7.6 bilion bagi menampung keperluan industri hiliran domestik.
“Malaysia menjadi net-importer bagi getah kerana bekalan tempatan tidak lagi boleh menampung keperluan industri hiliran getah negara seperti pembuatan sarung tangan getah, benang getah dan sebagainya.

“Daripada pengeluar getah terbesar pada 1990, Malaysia kini antara pengimport terbesar getah dunia kerana daripada 1.1 juta hektar tanah getah di negara ini, hanya sekitar 387,000 tan getah mentah dihasilkan, jauh lebih rendah daripada kapasiti sebenar yang boleh mencecah 1.2 juta tan.

“Banyak tanah ini tidak diusahakan kerana pemiliknya pekebun kecil, sudah berusia dan anak mereka tidak lagi berminat meneruskan kerja perladangan,” katanya pada majlis pelancaran Dana Hubungan Industri (ILF) 2.0 anjuran Majlis Getah Malaysia (MRC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Getah Malaysia, Datuk Seri Mohammad Suparadi Md Noor.

Malaysia pernah menduduki tangga pertama dalam industri getah global, namun kini berada di tangga ke-10 dengan Thailand berada di kedudukan teratas.

-Advertisement-

Johari berkata, kerajaan melalui agensi seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan memudah cara proses penyatuan (konsolidasi) kebun getah terbiar.

“Sektor swasta akan dibawa masuk menguruskan kebun yang disatukan ini secara perladangan komersial dan berskala besar. Ini akan mewujudkan skala ekonomi lebih berdaya maju dan menarik minat pelaburan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga bersedia meluluskan pengambilan pekerja asing khusus untuk ladang yang diuruskan secara berkelompok bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja yang sering dianggap sebagai kerja 3D (kotor, bahaya dan sukar).

Justeru, katanya, melalui model itu, pekebun kecil yang tanahnya diusahakan masih boleh mendapat pulangan pendapatan melalui pajakan tanpa perlu bekerja di ladang.

Sementara itu, Johari berkata, usaha mengembalikan kegemilangan industri getah bukan saja bergantung pada pengeluaran bahan mentah, tetapi juga melalui inovasi dan kualiti dalam produk hiliran.

“Kita perlu memperkukuhkan daya saing melalui kualiti dan inovasi. Dana seperti ILF 2.0 yang dilancarkan ini akan menjadi pemangkin kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengkomersialan teknologi baharu dalam industri,” katanya.

Johari turut memberi amaran kepada mana-mana syarikat, khususnya pedagang yang cuba mensabotaj ekonomi negara dengan mengimport sarung tangan getah siap, menukarkan bungkusan seolah-olah ia produk buatan Malaysia dan mengeksportnya semula.

“Ini sabotaj ekonomi. Kita mempunyai kapasiti pengeluaran yang besar dan perlu melindungi industri tempatan. Syarikat yang melakukan aktiviti itu akan berdepan tindakan tegas termasuk pembatalan lesen serta-merta,” katanya.
-BeritaHarian