Lawatan PM ke Turkiye perkukuh perdagangan, pelaburan dua hala – MATRADE

Estimate Reading Time: 2 minutes

STANBUL: Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Türkiye disifatkan bermakna dan berjaya, khususnya dalam usaha memperkukuh hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

-Advertisement-

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusof, berkata lawatan berkenaan membuka ruang baharu untuk memperluas kerjasama perniagaan serta menarik minat pelabur Turkiye meneroka peluang di Malaysia.
“Bagi pihak MATRADE, kita merasakan lawatan Perdana Menteri ke Turkiye pada kali ini adalah amat bermakna dan juga berjaya dalam membangunkan dan memperkukuhkan hubungan ekonomi, terutamanya perdagangan dan pelaburan di antara kedua-dua buah negara,” katanya kepada pemberita di Istanbul sempena lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye

Menurutnya, sesi mesyuarat meja bulat yang diadakan dengan syarikat dan pemain industri dari Turkiye membuahkan hasil positif.

“Ini adalah satu sesi yang membolehkan syarikat-syarikat Turkiye bertanya secara langsung kepada Perdana Menteri dan juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berhubung keperluan untuk mempertingkatkan hubungan perniagaan dengan Malaysia,” katanya.

Abu Bakar berkata, maklum balas yang diterima menunjukkan minat mendalam daripada syarikat-syarikat Turkiye untuk memperluaskan pasaran mereka, sama ada melalui eksport ke Malaysia atau mendapatkan lebih banyak sumber produk dan perkhidmatan dari negara ini.

“Selain perdagangan, terdapat juga minat yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat Turkiye untuk melabur di Malaysia,” katanya.

Tambahnya, di bawah MITI, aspek perdagangan dan pelaburan saling melengkapi dan menjadi pemacu utama dalam memperkukuh hubungan ekonomi dua hala.

“Kedua-dua pemimpin negara, Malaysia dan Turkiye, telah bersetuju untuk meningkatkan jumlah perdagangan daripada AS$5 bilion pada masa ini kepada AS$10 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang. Maka kita perlu mengkaji bagaimana sasaran ini boleh direalisasikan,” katanya.

-Advertisement-

High-Level Strategic Cooperation Council

Dalam konteks itu, penubuhan High-Level Strategic Cooperation Council (HLSCC) antara Malaysia dan Turkiye yang merangkumi pelbagai sektor termasuk ekonomi, perdagangan dan pelaburan disifatkan sebagai pemangkin penting kepada pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara.

Mengulas peluang kerjasama baharu, Abu Bakar berkata minat turut ditunjukkan dalam bidang teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor serta industri pertahanan.

“Bagi industri semikonduktor, kerajaan dan syarikat Turkiye menunjukkan minat untuk membangunkan sektor ini. Malaysia pula mempunyai ekosistem semikonduktor yang amat kukuh dan ini membuka ruang kepada perkongsian teknologi serta kerjasama strategik,” jelasnya.

Selain itu, katanya, industri pertahanan Turkiye yang berteknologi tinggi turut menarik minat syarikat Malaysia untuk menjalin kerjasama.

“Berdasarkan perbincangan dalam mesyuarat meja bulat, terdapat beberapa syarikat Turkiye yang berminat untuk bekerjasama dengan syarikat Malaysia, khususnya dalam industri pertahanan yang diakui amat maju,” katanya.

Abu Bakar berkata, platform seperti itu penting untuk mengenal pasti peluang kerjasama strategik yang memberi manfaat bersama kepada syarikat Malaysia dan Turkiye, selaras dengan aspirasi kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan ekonomi jangka panjang.

-BeritaHarian