34 premis niaga di Selangor terima notis tak patuhi harga

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Sebanyak 34 premis sekitar Selangor diberi notis mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dalam Operasi (Ops) Kesan 5.0 yang dilaksanakan sejak minggu lalu.

Operasi bertujuan memantau pematuhan peniaga susulan pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2 yang berkuat kuasa bermula 1 Januari lalu.Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey, berkata pemeriksaan bagi memastikan pematuhan peniaga dan industri terhadap perundangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah 2018.

Katanya, langkah itu juga sebagai peringatan kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga harga tanpa asas atau melakukan pencatutan susulan pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam Fasa 2.

“Hari ini, pemeriksaan Ops Kesan 5.0 memfokuskan peringkat peruncit khususnya barangan jualan ‘Back To School’ di sekitar premis di Shah Alam, menjelang sesi persekolahan yang dijadual bermula 12 Januari ini.”Fokus adalah kedudukan harga jualan barangan kelengkapan persekolahan bagi memastikan tiada kenaikan harga tidak munasabah menjelang pembukaan sekolah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zuhairi berkata, sepanjang Ops Kesan 5.0 digerakkan bermula 1 Januari hingga 9 Januari lalu, sebanyak 34 premis membabitkan 156 unit simpanan stok (SKU) atau jenis barangan, diperiksa pasukan penguat kuasa KPDN Selangor.

-Advertisement-

“Sebanyak 156 SKU yang diperiksa meliputi kategori barangan persekolahan, barangan di bawah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta barangan keperluan pengguna.”Semua 34 premis yang diperiksa menerima notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mendapatkan maklumat terperinci berkaitan harga dan kos barangan terlibat,” katanya.

Beliau berkata, individu yang disabitkan kesalahan melakukan pencatutan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000.

-BeritaHarian