KUALA LUMPUR, 19 Januari 2026 (TheCapitalPost) – Universiti Malaya (UM) terus memperkukuh peranannya sebagai penggerak utama dalam memacu kesedaran dan inovasi hijau berasaskan komuniti sempena Sambutan Hari Tanah Sedunia yang disambut setiap tahun pada 5 Disember. Bertemakan “Tanah Sihat untuk Bandar Sejahtera”, sambutan tahun ini menekankan kepentingan tanah bandar sebagai asas utama pembangunan lestari dan kesejahteraan komuniti bandar.
-Advertisement-

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), tanah bandar bukan sekadar permukaan di bawah bangunan, sebaliknya merupakan sumber kehidupan yang menyokong keselamatan makanan, pengurusan air, biodiversiti, daya tahan terhadap perubahan iklim serta infrastruktur bandar. FAO turut melaporkan bahawa lebih separuh penduduk dunia, iaitu sekitar 55 peratus, kini tinggal di kawasan bandar dan angka ini dijangka meningkat kepada 68–70 peratus menjelang tahun 2050, terutamanya di negara membangun.
Peralihan besar-besaran ke kawasan bandar ini memberi tekanan besar terhadap sistem makanan dan sumber sedia ada. Justeru, akses kepada makanan yang selamat dan lestari, khususnya bagi golongan miskin bandar, menjadi semakin kritikal. Di Malaysia, hampir 78 peratus penduduk menetap di kawasan bandar, menjadikan inisiatif pertanian bandar semakin relevan.

Pemanfaatan tanah terbiar dan tanah rezab bandar membolehkan komuniti menghasilkan makanan sihat secara lestari, di samping mengoptimumkan penggunaan ruang bandar yang kurang dimanfaatkan. Pendekatan ini bukan sahaja menyumbang kepada bekalan makanan setempat, malah berfungsi sebagai platform pembelajaran, interaksi sosial dan pemerkasaan komuniti, sejajar dengan aspirasi FAO untuk membangunkan bandar hijau yang mampan.
Sehubungan itu, satu program berimpak tinggi bertajuk “Inovasi Teknologi Hijau Pemangkin Tanah Sihat, Bandar Sejahtera” telah berlangsung di Kebun Komuniti Sejahtera Rasah Kemayan, Negeri Sembilan. Program ini berjaya menarik penyertaan lebih 30 orang peserta yang terdiri daripada komuniti setempat, pelajar universiti, wakil industri, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Keunikan program ini terletak pada pendekatan perkongsian ilmu dua hala yang menggabungkan penerangan saintifik, pembangunan inovasi oleh pelajar Universiti Malaya, serta aktiviti hands-on secara langsung di kebun komuniti. Para peserta diberi pendedahan kepada aplikasi sebenar teknologi pertanian hijau yang boleh dilaksanakan di persekitaran bandar menggunakan sumber tempatan dan kos yang berpatutan.
-Advertisement-
Antara inovasi yang diperkenalkan termasuk penghasilan kompos daripada sisa organik bagi meningkatkan kesuburan tanah, mengurangkan sisa makanan ke tapak pelupusan serta menurunkan pelepasan gas rumah hijau. Turut dikongsikan ialah teknologi penghasilan racun perosak organik, penggunaan baja mesra alam, sistem penjimatan air, serta teknik pembiakan tanaman secara bersepadu. Demonstrasi masakan berasaskan Bayam Brazil turut diadakan bagi menonjolkan potensi tanaman bandar sebagai sumber pemakanan berkhasiat dan lestari.

Puan Zarina, Pengerusi Kebun Komuniti Sejahtera Rasah Kemayan, menyatakan rasa bangga apabila Universiti Malaya memperkenalkan inovasi pertanian hijau yang praktikal dan boleh terus diaplikasikan di kebun tersebut. Menurut beliau, kebun ini bukan sahaja membekalkan hasil tanaman yang sihat kepada penduduk setempat, malah menjadi ruang pembelajaran dan interaksi sosial yang positif.
Sementara itu, Dr. Rokiah Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Biosense, menegaskan bahawa tanah yang sihat merupakan asas kepada ekosistem bandar yang berfungsi kerana ia menyokong pengeluaran makanan, menyerap air hujan, menapis pencemaran, menyimpan karbon serta menyediakan habitat kepada mikroorganisma penting.

Prof. Madya Dr. Rosazlin Abdullah, Pensyarah Universiti Malaya merangkap Presiden Persatuan Sains Tanah Malaysia, turut menyatakan bahawa program ini memberi pendedahan bermakna kepada pelajar universiti untuk melihat bagaimana ilmu di bilik kuliah diaplikasikan dalam situasi sebenar bersama komuniti. Beliau menekankan bahawa pembangunan bandar perlu mengiktiraf tanah sebagai sumber hidup, dan penglibatan pelbagai pihak mencerminkan komitmen bersama terhadap keselamatan makanan dan pembangunan bandar lestari.
Seorang wakil komuniti, Puan Junainah, menyifatkan program ini sebagai pembuka mata penduduk terhadap potensi tanah bandar dalam meningkatkan kesedaran tentang peranan tanah sebagai sumber makanan dan pendapatan. Pelajar Tahun Akhir Universiti Malaya, Alsten Adrian Lindua, pula menambah bahawa peluang berkongsi inovasi yang dibangunkan di universiti bersama komuniti amat bermakna kerana pelajar dapat memahami cabaran sebenar di lapangan. Pengalaman ini dilihat mampu menyemai semangat untuk menyumbang kepada kelestarian alam sekitar melalui aplikasi sains yang praktikal.
Program ini dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk KOBUNISS, Biosense, Universiti Malaya, OUM Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, serta pelbagai jabatan kerajaan dan pertubuhan wanita. Secara keseluruhannya, inisiatif ini selaras dengan aspirasi global FAO dalam memastikan tanah yang sihat menjadi asas kepada bandar yang sejahtera, sekali gus membuktikan bahawa usaha kelestarian boleh bermula dari peringkat komuniti.
-Ditulis oleh Prof. Madya Dr. Rosazlin Abdullah Pensyarah di Fakulti Sains, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di rosazlin@um.edu.my
-TheCapotalPost