Kerajaan belanja lebih RM200 juta sebulan perkukuh perkhidmatan Bas.My

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM200 juta setiap bulan bagi membiayai Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST) atau Bas.My di seluruh negara.

-Advertisement-

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, setakat ini sambutan orang ramai terhadap perkhidmatan bas berkenaan adalah memberangsangkan dan terus menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.

Beliau berharap dengan peruntukan besar yang disediakan kerajaan, lebih ramai rakyat akan memilih dan memanfaatkan perkhidmatan Bas.My sebagai pengangkutan harian.

“SBST adalah satu inisiatif oleh Kerajaan Persekutuan bertujuan mewujudkan satu perkhidmatan bas berhenti-henti yang efisyen dan selamat.

“Program ini bermula di Seremban dan Kangar pada tahun 2015 dan Ipoh pada tahun 2016, sebelum mengorak langkah dengan jayanya di beberapa ibu negeri lain termasuk Kuala Terengganu, Johor Bahru, Melaka, Kota Setar, Kuching, Kota Bharu dan Kuantan.

-Advertisement-

“Perkhidmatan itu akan turut dikembangkan ke Kota Kinabalu,” katanya selepas Majlis Pelancaran Bas.My Kota Bharu yang disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, di sini hari ini.

Mengulas mengenai pelaksanaan di negeri ini, Loke berkata Bas.My Kota Bharu melibatkan 16 laluan yang merangkumi 11 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Operasi perkhidmatan ini disokong oleh 64 bas dan kita berharap Kelantan menjadi negeri paling ramai penumpang menggunakan perkhidmatan bas ini,” katanya.

-BeritaHarian