SEREMBAN, 27 April 2026 (The Capital Post) – Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, memanggil mesyuarat tergempar susulan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO menarik sokongan terhadap kepimpinannya, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan politik di negeri itu.
Perkembangan tersebut meletakkan kedudukan kerajaan negeri dalam keadaan tidak stabil, dengan Aminuddin kini berdepan kemungkinan kehilangan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sumber politik memaklumkan bahawa antara opsyen yang sedang dipertimbangkan ialah untuk menasihati pembubaran DUN sekiranya sokongan tidak lagi mencukupi, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya negeri.
Namun, komposisi semasa menunjukkan Pakatan Harapan (PH) hanya memiliki 17 kerusi, dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) memegang 11 kerusi, diikuti Parti Keadilan Rakyat (PKR) 5 kerusi dan Parti Amanah Negara (Amanah) 1 kerusi.
Dengan kedudukan itu, DAP kini dilihat sebagai faktor paling penting dalam menentukan langkah seterusnya oleh Aminuddin.
Pemerhati politik berpendapat bahawa sebarang keputusan besar sama ada untuk membubarkan DUN, mendapatkan semula sokongan majoriti atau mengekalkan pentadbiran sedia ada bergantung kepada pendirian DAP sebagai parti terbesar dalam PH di negeri itu.
“Tanpa sokongan jelas daripada DAP, sebarang langkah strategik akan menjadi sukar untuk dilaksanakan,” menurut sumber.
Dalam masa sama, lima ADUN Perikatan Nasional (PN) dilaporkan bersedia bekerjasama dengan blok BN bagi memastikan kestabilan negeri, namun belum menyatakan sokongan terhadap sebarang usul undi tidak percaya.
Krisis ini berlaku ketika Negeri Sembilan turut berdepan ketegangan melibatkan institusi adat, menjadikan situasi semasa semakin kompleks dari segi politik dan perlembagaan.
Setakat ini, Aminuddin masih kekal sebagai Menteri Besar, namun kedudukannya kini dilihat bergantung kepada keputusan politik yang bakal ditentukan dalam masa terdekat dengan peranan DAP menjadi tumpuan utama. – The Capital Post
-Advertisement-