Aaron-Wooi Yik tarik diri Seluruh England?

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Penyertaan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Seluruh England, minggu depan mencetuskan tanda-tanya selepas tersingkir di pusingan pertama Masters Orleans, malam tadi.

-Advertisement-

Bekas juara dunia itu dikejutkan dengan kekalahan kepada gandingan muda China, Sun Wen Jun-Zhu Yi Jun 18-21, 8-21 pada aksi di Palais des Sports, Perancis.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, berkata salah satu faktor utama yang menyumbang kepada kekalahan itu adalah disebabkan kecederaan pergelangan tangan dialami Aaron.

Katanya, disebabkan masalah itu, Aaron tidak dapat beraksi pada tahap prestasi terbaiknya dalam perlawanan berkenaan.

-Advertisement-

“Jadi, untuk Seluruh England, saya menunggu laporan daripada jurulatih Muhammad Miftakh terlebih dahulu untuk tahu sama ada Aaron boleh beraksi atau tidak. Buat masa sekarang kita belum tahu lagi boleh atau tidak,” katanya kepada BH Sukan.

Aaron sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan berulang di pergelangan tangan namun Herry ketika itu memaklumkan bahawa kecederaan berkenaan tidak serius.

Pada Seluruh England, Aaron-Wooi Yik yang mara ke pentas final tahun lalu akan membuka tirai kempen tahun ini menentang gandingan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard di pusingan pertama.
-BeritaHarian