Affin Bank sasar pertumbuhan daripada suntikan deposit kerajaan Sarawak

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Affin Bank Bhd berupaya meraih pemangkin pertumbuhan positif, hasil suntikan awal deposit akaun semasa dan simpanan (CASA) oleh kerajaan Sarawak ke dalam bank berkenaan.

-Advertisement-

Menurut Kenanga Research, berdasarkan model dalaman mereka, setiap peningkatan RM1 bilion dalam deposit CASA berupaya mengurangkan kos dana sebanyak tiga mata asas (bps) dan meningkatkan pulangan ke atas ekuiti (ROE) sebanyak 10 mata asas.

Affin Bank melaporkan peningkatan 12.6 peratus dalam keuntungan bersih bagi suku pertama tahun kewangan 2025 kepada RM124.1 juta, disokong oleh pendapatan bersih yang kukuh.

Kenanga Research menyatakan bahawa prestasi suku tahunan bank itu menyumbang 20 peratus daripada unjuran tahunan mereka dan 22 peratus daripada anggaran konsensus pasaran.

“Unjuran margin faedah bersih (NIM) kumpulan juga dilihat semakin positif, dengan Affin telahpun melepasi sasaran CASA tahun kewangan 2025 sebanyak 31 peratus, didorong oleh pertambahan deposit bukan disokong kerajaan di Sarawak,” katanya.

Perkembangan itu berlaku walaupun sebelum pelaksanaan perkhidmatan gaji oleh Affin Bank bagi menampung sehingga 30,000 penjawat awam di negeri berkenaan.

Firma penyelidikan itu turut menyemak semula unjuran pendapatan Affin Bank bagi tahun kewangan 2025 dan tahun kewangan 2026, masing-masing diturunkan sebanyak dua peratus dan satu peratus.

-Advertisement-

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) memaklumkan pihaknya telah mengambil kira pertambahan jumlah saham susulan pelaksanaan terbitan bonus baru-baru ini.

Namun begitu, HLIB mengekalkan harga sasaran RM3 bagi saham Affin Bank serta saranan ‘beli’.

HLIB menjelaskan bahawa pengekalan ini disebabkan pelarasan andaian beta daripada 1.0 kepada 0.9, mencerminkan pandangan bahawa profil risiko bank kini lebih rendah.

“Kami percaya premium ini adalah wajar memandangkan kemunculan kerajaan Sarawak sebagai pemegang saham terbesar Affin Bank, sekali gus membuka peluang lebih besar untuk memanfaatkan potensi pertumbuhan ekonomi negeri itu.

“Bagaimanapun, kami percaya profil risiko-ganjaran Affin masih cenderung ke arah kenaikan, dengan potensi pertumbuhan ketara yang masih belum direalisasikan sepenuhnya.

“Potensi peningkatan seterusnya banyak bergantung kepada manfaat nyata yang bakal muncul daripada penglibatan strategik kerajaan Sarawak,” katanya.
-BeritaHarian