10 ADUN angkat sumpah EXCO Pulau Pinang, BN kembali selepas 15 tahun

Estimate Reading Time: < 1 minute

GEORGETOWN: Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang, termasuk tujuh muka baharu mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Dewan Sri Pinang, di sini, hari ini.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, disaksikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Mendahului pelantikan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Prof Datuk Dr Mohamad Abdul Halim yang menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 dan ADUN Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo sebagai Timbalan Ketua Menteri 2.

Tujuh wakil rakyat daripada DAP terdiri ADUN Tanjong Bunga, Zairil Khir Johari; ADUN Paya Terubong, Wong Hon Wai; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim, ADUN Jawi, H’ng Mooi Lye, ADUN Padang Lalang, Gooi Zi Sen dan ADUN Perai, Datuk Seri S Sundarajoo, termasuk Jagdeep.

Selain Mohamad, seorang lagi ADUN PKR yang mengangkat sumpah ADUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol.

ADUN Sungai Acheh, Rashidi Zinol menjadi satu-satunya wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN), sekali gus menyaksikan parti itu kembali dalam barisan EXCO Pulau Pinang selepas berada di blok pembangkang sejak 2008.

Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN berjaya menguasai 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dengan DAP mengekalkan kemenangan di 19 kerusi ditandingi parti itu, manakala PKR menang tujuh daripada 13 kawasan ditandingi.

BN pula memperoleh dua kerusi dan AMANAH mengekalkan satu kerusi iaitu Bayan Lepas.

– Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373