10 Timbalan EXCO Melaka diumum

Estimate Reading Time: 2 minutes

AYER KEROH: Kerajaan negeri mengumumkan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik sebagai Timbalan EXCO negeri bagi memantapkan struktur organisasi pentadbiran baharu di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengumumkan lantikan itu, Ab Rauf berharap semua ADUN yang dilantik dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik dan cemerlang bagi memastikan Melaka dibangunkan mengikut acuan kerajaan Perpaduan ketika ini.

“Saya ucap tahniah dan terima kasih kepada semua EXCO dan Timbalan EXCO yang dilantik. Seperti yang saya katakan sebelum ini, semua wakil rakyat yang berada dalam Kerajaan Perpaduan akan dapat memainkan peranan menyumbang untuk membangunkan Melaka bersama-sama dengan kerajaan negeri yang dipimpin oleh saya,” katanya.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO pertama, malam tadi selepas membentuk kerajaan Perpaduan menerusi pelantikan EXCO negeri, Rabu lalu.

Komposisi barisan Timbalan Exco terdiri daripada dua ADUN daripada Pakatan Harapan (PH) dan lapan ADUN daripada Barisan Nasional (BN). Daripada jumlah itu, lapan adalah muka baharu manakala dua lagi adalah bekas EXCO kerajaan negeri sebelum ini.

ADUN Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar dilantik sebagai Timbalan EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET yang dipengerusikan Rauf manakala ADUN Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin sebagai Timbalan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana.

ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan (Timbalan EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan); ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong (Timbalan EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan); ADUN Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem (Timbalan EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital);

ADUN Banda Hilir, Leng Chau Yen (Timbalan EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti); ADUN Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis (Timbalan EXCO Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan); ADUN Durian Tunggal, Zahari Abd Khalil (Timbalan EXCO Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan); ADUN Kuala Linggi, Rosli Abdullah (Timbalan EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama) dan ADUN Pantai Kundor, Tuminah Kadi (Timbalan EXCO Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna).

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, semua Timbalan EXCO yang dilantik itu bakal menerima beberapa kemudahan termasuk kenderaan rasmi dan pemandu.

“Terdapat satu portfolio yang masih belum mempunyai timbalan iaitu Belia, Sukan dan NGO kerana masih belum diputuskan berikutan beberapa ADUN belum menyatakan persetujuan mengenainya,” katanya.

Setakat ini, empat ADUN tidak dilantik ke jawatan itu iaitu bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang ADUN Lendu; ADUN Klebang, Datuk Lim Ban Hong; Ayer Keroh, Kerk. Kim Hock serta ADUN Rembia, Datuk Jailani Khamis. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373