100,000 dalam industri pelancongan hilang kerja

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sekatan pergerakan bagi membendung penularan COVID-19 memberi impak langsung kepada pelbagai segmen ekonomi termasuk pelancongan apabila lebih 100,000 individu dalam sektor itu hilang pekerjaan tahun lalu.

Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, berkata ia berdasarkan dapatan Akaun Satelit Pelancongan 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Berdasarkan data itu, katanya guna tenaga pelancongan pada 2020 mencatatkan seramai 3.5 juta orang, iaitu penyusutan sebanyak 2.9 peratus berbanding 3.6 juta orang guna tenaga pada 2019.

“Data guna tenaga dalam industri pelancongan ini merangkumi 34.5 peratus dalam sektor makanan dan minuman (F&B), 33.4 peratus dalam sektor peruncitan dan 17.4 peratus dalam perkhidmatan khusus pelancongan negara.

“Komponen guna tenaga dalam industri pelancongan adalah meliputi industri perkhidmatan penginapan; penyediaan makanan dan minuman (F&B); pengangkutan penumpang; agensi pelancongan dan penempahan lain; kebudayaan, sukan dan rekreasi; jualan runcit bahan api kenderaan; perdagangan runcit; dan perkhidmatan khusus bercirikan pelancongan negara.

“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi membantu menghidupkan semula aktiviti pelancongan demi memastikan kelangsungan pekerjaan dalam sektor ini,” katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Su Keong Siong (PH-Kampar) yang mahu tahu jumlah kehilangan pekerjaan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan langkah diambil kerajaan untuk membantu golongan berkenaan.

Mengulas lanjut inisiatif bagi menghidupkan semula aktiviti pelancongan, Santhara berkata, kerajaan menyediakan kemudahan kuarantin membabitkan 378 hotel di seluruh negara yang bersetuju dijadikan Stesen Kuarantin COVID-19 di bawah program kuarantin wajib ke atas individu yang memasuki Malaysia dari luar negara, dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Selain itu, katanya kerajaan juga menyediakan kemudahan pusat kuarantin dan hostel sementara bagi pekerja asing sedia ada di negara ini, di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 346) dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Tambahnya, kerajaan turut menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak industri seperti Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) serta Persatuan Konvensyen dan Pameran Malaysia (MACEOS) bagi menggunakan fasiliti hotel serta pusat konvensyen untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Melaksanakan pembukaan sektor pelancongan dengan Pulau Langkawi sebagai destinasi rintis gelembung perjalanan bermula 16 September 2021. Inisiatif ini memberi nafas baharu kepada pengusaha pelancongan di pulau tersebut dan dijadikan penanda aras untuk penyediaan dan memperkemas prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan lebih banyak gelembung, destinasi serta aktiviti pelancongan.

“Mengaturkan persembahan oleh buskers di beberapa pusat pemberian vaksin mega di seluruh negara untuk peluang penjanaan pendapatan kepada buskers serta pada masa yang sama menyediakan hiburan kepada petugas PPV dan penerima vaksin.

“Sentiasa meneliti peluang dan mempersiapkan penggiat industri untuk pembukaan dan pengoperasian semula destinasi serta aktiviti pelancongan, seni dan budaya di seluruh negara secara berfasa di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya. -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373