17 bas ekspres MARA Liner jadi PPV bergerak

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 bas ekspres MARA Liner Sdn Bhd diubah suai menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak untuk digunakan bagi mempercepatkan proses vaksinasi kepada komuniti luar bandar khasnya masyarakat Orang Asli di seluruh Semenanjung.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata setiap unit PPV bergerak bas MARA Liner mempunyai sembilan kaunter vaksinasi termasuk satu untuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan boleh memberikan vaksin kepada 1,200 penerima apabila beroperasi selama 10 jam.

“Sebagai percubaan, dua unit PPV bergerak MARA Liner akan berlepas ke Sungai Siput di Perak Sabtu ini untuk program pemberian vaksin kepada masyarakat Orang Asli di beberapa kampung sekitar kawasan itu.

“Perak negeri yang mempunyai masyarakat Orang Asli paling ramai selain Pahang,” katanya selepas meninjau PPV bergerak MARA Liner Sdn Bhd di Depoh MARA Liner di Batu Muda dekat sini, hari ini.

Dr Abdul Latiff berkata, operasi PPV bergerak MARA Liner merangkumi beberapa kaunter yang didirikan di bawah khemah bersebelahan PPV bergerak berkenaan termasuk kaunter untuk proses pengesahan, pendaftaran, konsultasi dan pemerhatian kepada penerima vaksin.

Beliau berkata, semua kaunter ini selaras dengan syarat ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, setiap PPV bergerak MARA Liner dilengkapi dua doktor dan jururawat dari U.n.i KLINIK, rangkaian klinik dibangunkan melalui program ProSPEC di bawah MARA, manakala bekalan vaksin daripada KKM.

“PPV berkenaan akan memberikan vaksin kepada komuniti luar bandar tanpa mengambil kira sama ada mereka berdaftar melalui aplikasi MySejahtera atau tidak.

“Mereka di luar bandar yang tidak pernah mendaftar untuk mendapatkan vaksin masih boleh mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di PPV bergerak MARA Liner,” katanya.

Dr Abdul Latiff berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar komited memastikan komuniti luar bandar mendapat akses kepada vaksin COVID-19.

Sementara itu, beliau berkata, setakat hari ini, 28,143 daripada keseluruhan 206,000 komuniti Orang Asli di seluruh Semenanjung sudah menyatakan persetujuan untuk menerima vaksin. – BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373