190 terselamat, 1 maut selepas kapal karam di Miri

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan 190 kru kapal penyelenggaran Dayang Topaz diselamatkan dan seorang lagi maut, selepas ia karam di perairan Kuala Baram, Miri pagi tadi.

Ketua Pengarah APMM, Mohd Zubil Mat Som berkata, Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim (MRCC Putrajaya) menerima panggilan dari sebuah kapal Sapura Construction kira-kira 6.45 pagi tadi, melaporkan ia menerima isyarat kecemasan dari Dayang Topaz di 7.7 batu nautika dari Kuala Baram.

Katanya, kapal Sapura Construction bergerak ke lokasi untuk mengesan lokasi sebenar Dayang Topaz yang dilaporkan mulai karam dengan 62 kru masih berada di atas kapal, manakala 125 kru terjun ke laut dan 4 lagi hilang.

“Aset bantuan segera bergerak ke lokasi yang merangkumi 3 kapal dan sebuah bot Maritim Malaysia di Miri bersama 7 kapal dan bot milik syarikat Petronas dan Shell,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, 4 kru yang hilang semasa kapal itu karam, ditemui berhampiran lokasi kejadian pada 9.29 pagi tadi.

Katanya, 124 kru kapal yang terjun ke laut berjaya diselamatkan, manakala seorang meninggal dunia.

Berdasarkan maklumat awal, katanya, kejadian itu disyaki berpunca daripada satu kabel sauh Dayang Topaz terputus akibat cuaca buruk dan kapal tidak dapat dikawal, lantas ia hanyut melanggar platform pelantar minyak beramB.

Beliau berkata, MRCC Putrajaya sedang bekerjasama dengan Petronas, Shell, Tentera Udara Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pusat Penyelarasan Pencarian Nasional Brunei yang menghantar sebuah pesawat Brunei Shell Petroleum, serta nelayan tempatan.

“Aset yang terlibat KM Siagut, KM Siakap dan Bot Penggalang 23 kini berada di lokasi kejadian memantau keselamatan mangsa serta aset operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian. Keadaan laut masih bergelora dengan ketinggian 3.5 ke 4m.” -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373