20 kematian akibat denggi di Johor

Estimate Reading Time: 2 minutes

JOHOR BAHRU: Sebanyak 20 kematian dilaporkan akibat denggi sejak awal tahun ini hingga 27 Jun lalu, berbanding 15 kes kematian pada tempoh yang sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, R Vidyananthan, berkata mengikut perangkaan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor, sebanyak 5,107 kes demam denggi dilaporkan hingga 27 Jun lalu.

Katanya, berbanding sejumlah 5,142 kes demam denggi pada tempoh sama tahun lalu iaitu penurunan itu tidak signifikan, malahan terdapat peningkatan dalam kematian akibat denggi yang ketara.

“Sebanyak 34 lokaliti wabak baru dilaporkan pada Minggu Epid 26, menjadikan jumlah wabak aktif semasa sebanyak 91 lokaliti.

“Daerah paling tinggi melaporkan kes adalah daerah Johor Bahru (80.2 peratus), diikuti Kulai (3.9 peratus), Kluang (3.7 peratus), Segamat (3.3 peratus), selain Batu Pahat (2.4 peratus), Mersing (2.1 peratus), Kota Tinggi (1.4 peratus), Muar (1.1 peratus), Pontian (0.9 peratus) dan Tangkak (0.9 peratus).

“Faktor penyumbang utama kejadian demam denggi di Johor adalah pengabaian aspek kebersihan persekitaran khususnya tabiat pembuangan sampah yang tidak teratur dan sempurna, yang menyumbang kepada bekas-bekas berpotensi membiak nyamuk aedes.

“Dengan itu, masyarakat perlu sentiasa menjaga kebersihan kawasan sekeliling rumah dan segera menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di luar atau di dalam rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, masyarakat perlu memastikan tiada tempat takungan yang boleh menjadi pembiakan aedes dengan memeriksa persekitaran rumah sendiri.

Katanya, luangkan masa 10 minit setiap minggu untuk aktiviti Cari dan Musnah Aedes.

“Adalah dimaklumkan sekiranya terdapat pembiakan aedes di premis kediaman, kompaun sebanyak RM500 akan dikenakan dan sekiranya gagal membayar kompauan, boleh didenda di mahkamah maksimum RM10,000.

“Selain itu, masyarakat juga perlu turut serta dalam usaha pemusnahan aedes menerusi program komuniti yang menjadi sebahagian daripada Kempen Perangi Denggi Johor.

“Jangan lupa, sekiranya mengalami demam, segeralah mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran kerana sebarang kelewatan boleh membawa maut.

“Pada masa yang sama, jabatan kesihatan juga berharap orang ramai sentiasa mendapatkan maklumat yang tepat dari sumber yang boleh dipercayai sebelum menularkan sesuatu informasi,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373