22 projek PR1MA dalam pembinaan termasuk projek sakit

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Sebanyak 22 projek Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) kini dalam proses pembinaan termasuk 13 daripadanya merupakan projek sakit.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata selain itu sehingga semalam, terdapat 54 projek PR1MA direkodkan telah siap sepenuhnya, manakala 10 projek lagi masih dalam perancangan.

“Daripada 54 projek yang telah siap dibina, dua daripadanya telah menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), namun masih dalam proses pemeriksaan pembaikan kecacatan sebelum unit tersebut diserahkan kepada pembeli.

“Empat projek lagi dalam proses penyerahan kunci yang dibuat secara berperingkat bermula semalam,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini bagi menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) tentang bilangan projek perumahan PR1MA yang masih belum berjaya diserahkan kepada pembeli dan bilangan setiap negeri.

Dari segi pecahan projek PR1MA bagi setiap negeri, Akmal Nasrullah berkata terdapat lima projek di Sabah; Melaka (tiga); dua projek masing-masing di Kedah, Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor, manakala satu projek masing-masing di Kedah dan Wilayah Persekutuan.

“Memang kita sedang memastikan setiap projek PR1MA yang sakit akan diselesaikan menjelang hujung tahun 2024,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai yang berminat untuk membeli rumah PR1MA agar berurusan terus dengan pihak pengurusan PR1MA bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan.

– BERNAMA

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373