31 Ahli Parlimen BN sokong PM bukti rakyat lebih penting

Estimate Reading Time: 2 minutes

SHAH ALAM: Keputusan 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan dan kekal bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan politik negara semakin dinamik.

Penasihat Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia juga membuktikan ahli parlimen berkenaan mementingkan rakyat berbanding kemahuan parti sendiri.

“Alhamdulillah, saya ingin menyatakan rasa syukur kepada Allah SWT kerana politik negara kini semakin dinamik.

“Walaupun sudah ada keputusan daripada parti, ia mungkin bukan datang daripada keseluruhan ahli tetapi datang dari beberapa pemimpin.

“Ia sekali gus menyebabkan ahli parlimen bertindak menggunakan kewarasan dan kebijaksanaan masing-masing meletakkan kepentingan yang lebih utama melebihi kepentingan politik dan kemahuan parti.

“Sokongan kepada Perdana Menteri bukan kerana kerajaan ini terlalu sempurna tetapi kerana kita berpandangan kita mesti bekerjasama dengan rapat agar kepentingan rakyat dapat diutamakan terutama dalam pandemik COVID-19 ini,” katanya.

Beliau berkata sedemkian selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Ideal Convention Centre (IDCC) di Seksyen 15 di sini, hari ini.

Terdahulu, seramai 31 Ahli Parlimen UMNO dan BN hari ini, menyatakan sokongan dan kekal bersama kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika mengumumkan pendirian itu, mereka juga menyokong supaya keabsahan kerajaan PN dan kepemimpinan Perdana Menteri ditentukan ketika persidangan Parlimen pada September depan.

Pendirian itu dinyatakan pada sidang media yang dihadiri 21 Ahli Parlimen UMNO dan BN, diketuai Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Seramai 10 lagi Ahli Parlimen UMNO, BN yang bersetuju mengambil pendirian sama, tidak hadir ketika sidang media terbabit.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal yang dilantik semalam memaklumkan pelantikan beliau ke jawatan itu adalah untuk membantu Perdana Menteri memberi tumpuan khas kepada masalah menangani krisis kesihatan dan ekonomi rakyat.

Katanya, antara perkara yang akan diberikan tumpuan ialah jalinan komuniti khususnya dalam menyampaikan pandangan rakyat kepada perdana menteri.

“Antara perkara yang saya diberikan tumpuan adalah dari segi jalinan komuniti iaitu ‘engagement’ dengan masyarakat yang tentunya ada banyak pandangan yang nak disampaikan kepada perdana menteri pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373