3,537 notis amaran dikeluarkan berkaitan larangan merokok

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEREMBAN: Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mengeluarkan sebanyak 3,537 notis amaran terhadap pemilik, pengusaha tempat makan dan perokok di negeri ini kerana pelbagai kesalahan berkaitan larangan merokok.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata daripada jumlah itu sebanyak 394 notis amaran dikeluarkan terhadap perokok yang merokok di tempat makan.

Katanya, sebanyak 3,016 notis amaran dikeluarkan terhadap pemilik dan pengusaha tempat makan kerana kesalahan gagal mempamerkan tanda larangan merokok.

“Sebanyak 127 notis amaran dikeluarkan terhadap pemilik dan pengusaha tempat makan kerana kesalahan gagal memastikan tiada seorang pun merokok dalam premis mereka.

“Semua notis dikeluarkan sejak 1 Januari sehingga 28 Disember 2019 selepas mengadakan pemeriksaan di sebanyak 13,316 premis di seluruh negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Veerapan berkata, semua pihak dinasihatkan mematuhi kehendak peraturan ditetapkan bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.

Katanya, bermula 1 Januari 2020 penguatkuasaan terhadap larangan merokok di tempat makan mengikut Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 akan dilaksanakan sepenuhnya dengan mengeluarkan Notis Memerintahkan Kehadiran ke Mahkamah terhadap perokok.

“Jika perokok gagal mematuhi peraturan ini, mereka boleh didakwa di mahkamah dan jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun,” katanya.

Beliau berkata, mengikut Peraturan 12(1)(a) PPKHT 2004 pula, pemilik tempat makan diwajibkan mempamerkan tanda Larangan Merokok seperti yang ditetapkan.

“Jika gagal berbuat demikian, mereka boleh dikenakan Notis Memerintahkan Kehadiran ke Mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga enam bulan.

“Mengikut Peraturan 12(1)(b) PPKHT 2004 pula, pemilik tempat makan perlu memastikan tiada orang merokok dalam premis dan jika gagal berbuat demikian boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih satu tahun,” katanya. -Bharian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373