51 kanak-kanak bawah JKM tak ada dokumen pengenalan diri

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Seramai 51 kanak-kanak yang berada di bawah institusi seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) belum memperoleh dokumen pengenalan diri setakat Oktober tahun ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Aiman Athirah Sabu.

Menjelaskan status terkini kanak-kanak berkenaan, beliau memberi jaminan, kementeriannya sentiasa memberi keutamaan untuk membantu kanak-kanak terbabit, terutama memastikan mereka mendapat dokumen sijil kelahiran sebelum tamat perintah di institusi JKM.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui JKM menyediakan 39 institusi kanak-kanak bagi menempatkan 1,365 kanak-kanak yang memerlukan jagaan, perlindungan dan pemulihan.

“Mengikut rekod JKM, sehingga 1 Oktober 2023, 51 kanak-kanak masih belum ada dokumen pengenalan diri, namun jika dibandingkan pada 2022, seramai 2,158 kanak-kanak direkodkan tidak mempunyai dokumen berkenaan.

“Justeru, dalam menguruskan dokumen pengenalan diri mereka, JKM bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam urusan permohonan daftar lewat kelahiran bagi mendapatkan sijil kelahiran. JPN sentiasa memberi keutamaan untuk bantu kanak-kanak ini mendapatkan sijil kelahiran sebelum tamat perintah berada di institusi JKM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai jumlah kanak-kanak bawah seliaan institusi kanak-kanak JKM yang masih belum mendapat dokumen pengenalan diri.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan Siti Zailah mengenai kes kanak-kanak terbuang yang berada di bawah jagaan JKM, Aiman Athirah mendedahkan, setakat Januari hingga Ogos tahun ini, terdapat 156 kanak-kanak dalam kategori itu yang ditempatkan di institusi berkenaan.

Jelasnya, pekeliling Ketua Pengarah JKM bilangan 1, pada 2022 berkaitan penentuan identiti kanak-kanak terdampar yang dikeluarkan pada 8 September 2022 menjadi garis panduan bagi pengurusan kanak-kanak dalam kategori terbabit.

“Garis panduan ini sebagai pelindung di peringkat JKM dalam mengendalikan kanak-kanak terbuang ini. Ia juga selaras dengan keputusan Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam.

“Untuk rekod, dari Januari sehingga Ogos 2023, terdapat sebanyak 156 orang kanak-kanak telah dibuang atau tiada ibu bapa dikendali JKM,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai kesukaran kanak-kanak tanpa dokumen untuk bersekolah, beliau berkata, hak mereka tidak pernah dinafikan dengan JKM sentiasa berusaha melalui pelbagai langkah bagi menyelesaikannya.

“Kanak-kanak tanpa dokumen ini tidak dinafikan untuk bersekolah di negara kita seperti kanak-kanak lain. Biasanya perintah mahkamah digunakan sebagai rujukan untuk mereka bersekolah.

“Mengenai jaminan sama ada semua kanak-kanak di institusi JKM ini akan dijamin memperoleh dokumen, KPWKM sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri melalui JPN. Usaha ini akan di pertingkat dari semasa ke semasa dan tumpuan akan terus diberikan (bagi menyelesaikan isu ini),” katanya.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373