92 mukim zon hijau

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU: Sebanyak 92 mukim di negeri ini diisytiharkan sebagai zon hijau berikutan tiada kes baharu COVID-19 direkodkan sejak 29 April lalu hingga semalam.

EXCO Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyanathan, berkata sehingga semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) melaporkan jumlah kumulatif kes positif kekal 667 kes dan daripada jumlah itu, 152 kes adalah kes aktif.

Katanya, bagaimanapun tiada kes kematian direkodkan yang menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Johor kekal sebanyak 18 orang.

“Semalam, jumlah kes kumulatif sembuh di Johor adalah sebanyak 497 kes, selain kerajaan negeri juga ingin memaklumkan berita gembira apabila perangkaan menunjukkan Johor mencatatkan tiada kes baharu dalam tempoh 10 hari berturut-turut bermula pada 3 Mei lalu.

“Walaupun kita sudah memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor tetap komited melaksanakan Operasi Sanitasi Awam di seluruh negeri mengekang penularan wabak COVID-19 di premis awam yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Sejak 27 Mac lalu hingga semalam, sebanyak 1,839 lokasi yang merangkumi 700 (bangunan kerajaan), 142 (rumah ibadat), 438 (tempat awam) dan 559 (lain-lain) yang menjalani sanitasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri menerusi JKNJ serta agensi yang terbabit sentiasa mementingkan kebajikan individu dengan menyediakan beberapa panduan bagi menjaga keselamatan dan menjamin keselesaan mereka sepanjang tempoh kuarantin.

“Sepanjang tempoh kuarantin, JKNJ turut menyediakan khidmat kaunseling secara dalam talian. Khidmat berkenaan boleh didapati menerusi talian hotline 07-231 1027,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373