997,000 pekerja terima bayaran subsidi upah daripada PERKESO

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA KINABALU: Setakat ini kerajaan membayar kepada 997,000 pekerja daripada 117,000 majikan dengan jumlah bayaran RM1.2 bilion melalui bulan pertama Program Subsidi Upah.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata program subsidi upah ini dilaksanakan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Majikan yang terbabit adalah mereka yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah berkuat kuasa 18 Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata sehingga 4 Mei lalu, PERKESO telah menerima permohonan daripada 256,000 majikan yang membabitkan dua juta pekerja.

“Tetapi setelah disemak dengan teliti majikan yang telah mendapat kelulusan setakat ini adalah 235,000 majikan yang membabitkan perbelanjaan RM1.7 bilion.

“Sebahagian yang belum diluluskan adalah kerana dokumen yang tidak lengkap dan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan. Majikan diberikan subsidi upah sehingga maksimum tiga bulan bagi mengekalkan pekerja,” katanya.

Abdul Rahim berkata subsidi upah diberi kepada majikan yang berdaftar dengan PERKESO mengikut kategori majikan dengan bayaran antara RM600 (majikan memiliki pekerja lebih 200 orang) dan RM800 (bagi majikan yang mempunyai 75 hingga 200 pekerja).

“Majikan yang memiliki 75 orang ke bawah diberi subsidi RM1,200 setiap pekerja. Pekerja yang mendapat perlindungan ini adalah pekerja yang berpendapatan RM4,000 ke bawah.

“Setiap majikan yang berkehendakkan subsidi upah ini boleh mendaftar dengan PERKESO sehingga tarikh akhir 15 September 2020. Mereka yang memerlukan makluman lanjut berkaitan program ini boleh membuat carian di laman sesawang perkeso@ perkeso.gov.my,” tambahnya.

– BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373