Aaron buat adegan ‘stunt’

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Datuk Aaron Aziz yang berdepan masalah ‘slip disc’ selepas menjayakan babak aksi ketika penggambaran filem, beberapa tahun lalu, masih dalam proses pemulihan.

Biarpun tidak melakukan pembedahan kerana bimbang risiko dihadapi, aktor kelahiran Singapura ini berkata, atas saranan doktor, dia hanya bersenam termasuk menurunkan berat badan sebagai ikhtiar merawat masalah itu.

“Biasalah bila buat kerja ‘stunt’ ini leher dan pinggang ada beri kesan kepada saraf saya. Doktor sarankan untuk cungkil saraf yang tersepit itu, tapi kaedah itu risiko.

“Kemungkinan dengan cara itu, dua bulan saya tidak boleh bangun tanpa boleh buat apa-apa, saya tak mahu begitu.

“Jadi, doktor nasihatkan bersenam dan kurangkan berat badan. Sekarang berat badan saya sudah turun 11 kilogram (kg).

“Alhamdulillah kekurangan berat badan ini membantu sebab kalau sebelum ini hendak naik tangga di rumah pun susah,” katanya kepada BH Online.

Tambah penerima trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sebanyak dua kali ini, setakat ini, dia tidak mengalami sebarang masalah kesihatan serius dan boleh menjayakan babak aksi seperti biasa.

“Doktor sarankan saya buat terapi. Tetapi saya malas keluar masuk hospital. Jadi, saya banyak ikhtiar sendiri dan banyak bersenam untuk kuatkan belakang saya.

“Alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja, malah setakat ini bila saya lakukan babak aksi tiada masalah,” katanya ditemui pada sesi fotografi sempena filem terbaharu arahan serta lakonannya iaitu Sayu Yang Syukur di sini, semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai filem Sayu Yang Syukur, Aaron berkata, pembabitannya selaku pengarah bermula selepas ditawarkan Penerbit Eksekutif, Allahyarham Datuk Gulzar Mohamad Noor Mohamed atau lebih dikenali sebagai Mohd Atlas pada 2015.

“Pada awalnya, saya diberikan peluang untuk berlakon sahaja, namun arwah kemudian menawarkan untuk mengarahkan filem ini.

“Jadi, saya rasa ini adalah peluang yang tidak harus dilepaskan memandangkan saya masih belum pernah pernah mengarahkan filem cinta.

“Untuk filem ini, saya membuat 90 peratus olahan berbanding skrip asal dengan memasukkan idea baharu supaya dapat memberi kelainan daripada filem cinta lain.

“Saya juga diberi sepenuh kepercayaan untuk memilih barisan pelakon yang diinginkan,” katanya.

Selain Aaron, filem terbitan Nusanbakti Corporation Sdn Bhd itu turut menampilkan barisan pelakon hebat lain seperti Arja Lee, Nora Danish, Mohd Khafairie, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Raja Emma dan ramai lagi.

Filem Sayu Yang Syukur akan menemui penonton di pawagam mulai 28 Disember depan.

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373