‘Ada kerusi masih kelabu bagi PH-BN di Pulau Pinang’

Estimate Reading Time: 2 minutes

BUTTERWORTH: Jentera gabungan PH dan BN Pulau Pinang diingatkan tidak memandang rendah keupayaan PN memandangkan ada sesetengah kawasan DUN yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak mampu membenamkan kemaraan pihak lawan.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata beliau beranggapan selagi kawasan ‘kerusi kelabu’ mereka tidak mampu menang, maka ia bukanlah satu kemenangan bagi gabungan PH-BN di negeri itu.

Katanya, mungkin apa yang diutarakannya menyebabkan jentera tidak bersemangat tetapi ia adalah satu peringatan bahawa pihak lawan bukan pesaing yang mudah.

“Kita tidak boleh terlalu yakin, tidak boleh rasa kita dah cukup kuat sebelum kita benar-benar mampu benamkan musuh.

“Jangan sesekali pandang rendah musuh politik kita. Sebab apa tak boleh pandang rendah kerana satu kena ingat kalau beberapa bahagian di DUN kita rasa boleh menang mudah tetapi di sesetengah tempat kita belum mampu benamkan mereka.

“Oleh itu, saya anggap, selagi kita tidak boleh menang di tempat ‘kelabu’ bagi saya ini belum kemenangan untuk orang Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto dan Pengenalan Calon-Calon Perpaduan di Pusat Konvensyen PICCA Butterworth Arena, di sini, malam tadi.

Hampir keseluruhan pimpinan tertinggi dari PH dan BN terdiri daripada Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Guan Eng dan Pengerusi BN negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir hadir pada majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, kerusi-kerusi kelabu yang ditandingi PH terdiri daripada pihak lawan yang sering menggunakan isu agama yang ia sangat laris terutamanya ketika mendekati pengundi terdiri dari orang kampung.

“Tempat kelabu ini hangpa (kamu) tau tak berdepan dengan sapa, hangpa berdepan dengan orang jual agama. Apatah lagi, jual agama ini laris terutamanya di kampung-kampung,” katanya.

Terdahulu, Naib Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Pulau Pinang Goh Choon Aik mendakwa bahawa 26 daripada 34 kerusi DUN yang PH bertanding kini sudah dalam genggaman.

Choon Aik berkata, kemenangan itu terdiri dari kerusi DUN Bayan Lepas hingga Tanjung Bungah di bahagian pulau dan dari Bukit Tambun hingga Sungai Puyu di bahagian Seberang Perai.

“Ingin saya maklumkan 26 daripada 34 kerusi (DUN) yang ditandingi PH sudah dalam genggaman kita, empat lagi masih dalam pertarungan sengit dan lagi empat perlu menyusun semula strategi serta perlu bekerja keras untuk memintas pihak lawan,” katanya.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373