Ahli perniagaan diculik diselamatkan polis, 2 suspek ditembak mati

Estimate Reading Time: 2 minutes

JOHOR BAHRU: Seorang ahli perniagaan yang diculik sejak Selasa lalu berjaya diselamatkan polis di sebuah ladang sawit di Mersing, dekat sini, dengan dua suspeknya ditembak mati, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi tadi itu, dua penjenayah terbabit berusia 39 dan 52 tahun ditembak mati selepas melarikan diri ke dalam hutan berhampiran ladang berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Shafie Ismail, berkata seorang pegawai polis cedera terkena tiga das tembakan dilepaskan dua suspek berkenaan sebelum mereka melarikan diri dalam hutan di situ.

Dua peluru masing-masing terkena bahagian kaki kiri dan paha kanan pegawai polis terbabit, manakala satu das tembakan lagi terkena tali pinggangnya.

Katanya, mangsa culik turut mengalami kecederaan selepas satu das tembakan dilepaskan penjenayah terkena belakang badan ahli perniagaan berusia 41 tahun itu.

Bagaimanapun, mangsa dan pegawai polis yang ditembak berada dalam keadaan stabil dan masing-masing dirawat di sebuah hospital swasta dan Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

“Menerusi siasatan polis, mangsa yang juga ahli perniagaan warga tempatan yang memiliki kilang plastik, di sini, diculik empat lelaki bertopeng bersenjatakan dua pistol pada jam 8.45 pagi selepas keluar dari rumahnya untuk bersarapan di Taman Gaya,Ulu Tiram, Selasa lalu.

“Keluarga mangsa membuat laporan polis mengenai penculikan ini dengan suspek menuntut wang tebusan S$10 juta (RM30 juta).

“Bertindak atas laporan itu, polis Johor serta-merta menubuhkan pasukan siasatan khas dan dibantu pasukan siasatan khas Bukit Aman termasuk Bahagian D8, D14 dan pasukan siasatan teknikal.

“Pada hari keenam mangsa diculik, keluarga bersetuju membayar wang tebusan diminta dengan pasukan siasatan berjaya mengesan kedudukan mangsa yang ditahan dalam sebuah kereta di ladang sawit di Sekakap, Mersing kira-kira jam 8.30 malam semalam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Shafie berkata, polis kemudian menghampiri kereta terbabit, namun dihujani tembakan yang mengakibatkan seorang pegawai polis cedera.

Katanya, polis membalas tembakan dua suspek berkenaan sebelum mereka melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

“Tindakan menyelamat ini perlu dilakukan segera selepas polis mendapat maklumat mangsa akan dibunuh sebaik wang tebusan dibayar.

“Polis kemudian meneruskan Ops Kesan dan Ops Tutup di daerah Mersing dan sempadannya bagi mengesan kedua-dua suspek dengan dibantu D9, D14 dan pasukan Tiger Platon dari Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam.

“Ketika dalam proses pengesanan, pasukan polis bertembung semula dengan dua suspek di dalam hutan sebelum mereka melepaskan tembakan ke arah anggota.

“Polis kemudian membalas tembakan yang menyebabkan kedua-dua suspek terbunuh, ” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis menemui dua pistol iaitu semi auto calibre 9mm dan 45mm pada badan penculik yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Katanya, siasatan awal mendapati dua penculik yang memakai topeng ketika menculik mangsa itu menjaga mangsa sementara antara lima hingga enam suspek yang masih bebas pula berurusan dengan keluarga mangsa bagi mendapatkan wang tebusan.

“Semakan rekod mendapati dua suspek berkenaan mempunyai rekod lampau kesalahan termasuk samun dan senjata api.

“Kumpulan penjenayah ini juga didapati terbabit dalam satu kes culik awal tahun lalu. Polis kini sedang mengesan saki baki ahli kumpulan ini.

“Dalam kes ini juga, wang tebusan tidak dibayar selepas polis berjaya menyelamatkan mangsa dan menumpaskan dua suspek, ” katanya.

Shafie berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjatapi, yang semuanya membawa hukum mati mandatori, jika sabit kesalahan. -Bharian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373