Bursa Malaysia pulih, disokong aktiviti beli saham murah

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kembali pulih dan dibuka lebih tinggi sedikit hari ini, disokong oleh aktiviti memburu murah walaupun terdapat sentimen berhati-hati di Wall Street semalaman, kata seorang peniaga.

Pada 9.10 pagi, indeks penanda aras FBM KLCI meningkat 1.90 mata kepada 1,382.47 daripada 1,380.57 pada penutupan urus niaga Rabu.

Indeks utama berkenaan dibuka 4.29 mata lebih tinggi kepada 1,384.86.

Bagaimanapun di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 125 berbalas 113, manakala 188 kaunter tidak berubah, 1,920 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 86.93 juta unit bernilai RM51.56 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata Wall Street ditutup rendah sedikit berikutan sesi dagangan yang tidak menentu apabila pelabur kekal berhati-hati menjelang pengeluaran data inflasi Amerika Syarikat lewat hari ini.

“Di pasaran tempatan, walaupun keadaan pasaran lemah, kami menjangkakan kemunculan beberapa aktiviti memburu saham murah dalam FBM KLCI selepas mencatatkan penurunan tiga hari berturut-turut.

“Justeru, kami mengunjurkan indeks berada dalam julat 1,380-1,400 hari ini, dengan sedikit tumpuan kepada sektor bank dan telekomunikasi,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun satu sen menjadi RM8.50 manakala Public Bank, CIMB dan IHH Healthcare semuanya menokok satu sen untuk mencatatkan harga RM4.23, RM5.31 dan RM5.55 sementara Petronas Chemicals menambah tujuh sen kepada RM8.62.

Bagi saham aktif, Citaglobal tidak berubah pada 28.5 sen, Vinvest dan Tanco masing-masing naik setengah sen menjadi 19.5 sen dan 30.5 sen, Yew Lee menambah satu sen kepada 26.5 sen dan Shin Yang meraih 1.5 sen menjadi 78.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas memperoleh 6.43 mata kepada 9,858.83, FBM 70 susut 10.31 mata kepada 11,929.05, FBMT 100 lebih tinggi 8.09 mata kepada 9,612.10,Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 6.41 mata kepada 9,828.04 dan FBM ACE turun 19.23 mata menjadi 4,612.14.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 8.49 mata kepada 15,932.26, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.19 mata menjadi 170.43, Indeks Perladangan susut 14.62 mata kepada 6,349.90 dan Indeks Tenaga berkurangan sebanyak 0.62 mata kepada 674.16.

-BERNAMA -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373