Anggota JPJ diingatkan tidak mengetepikan elemen integriti dalam tugas – Zailani

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA BHARU, 29 Mac — Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seluruh negara diingatkan agar tidak mengetepikan elemen integriti dalam melakukan tugasan mereka, kata Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim.

Beliau berkata, era globalisasi dan digitalisasi pada masa kini menuntut kepada satu pembentukan landskap baharu, dalam perkhidmatan awam.

Katanya, perkara itu secara tidak langsung memerlukan warga perkhidmatan awam mempunyai tahap nilai integriti yang tinggi, terutamanya mereka yang berkecimpung di sektor penguatkuasaan.

“Urus tadbir dalam organisasi perlu sentiasa ditunjangi dengan ketelusan dan akauntabiliti warga kerjanya, supaya satu ekosistem perkerjaan yang sihat dan kondusif dapat diwujud dan dilestarikan.

“Malah, sebagai anggota JPJ, kita perlu memastikan pelanggan JPJ mendapat perkhidmatan terbaik iaitu dengan tidak mengetepikan elemen integriti, dan memastikan hasil kerajaan yang diperolehi tidak berlaku ketirisan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Setia JPJ Kelantan di perkarangan JPJ Panji di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengarah JPJ Kelantan Hanif Yusabra Yusuf.

Penegasan itu dinyatakan Zailani, susulan penahanan demi penahanan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kakitangan JPJ, sempena Op Sukat di beberapa negeri pada pertengahan Mac lalu.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM telah menahan 44 individu termasuk 32 pegawai JPJ kerana dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi pemandu-pemandu lori yang menyalahi undang-undang jalan raya khususnya membawa lebih muatan serta gagal memenuhi aspek teknikal yang membabitkan jumlah rasuah, RM1.64 juta.

Mengulas lanjut, Zailani berkata penahanan itu adalah hasil kolaboratif antara pihak JPJ dan SPRM, dalam usaha memastikan jabatan berkenaan sentiasa bersih daripada sebarang elemen salah guna kuasa serta gejala rasuah.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak akan berkompromi dengan anggota dan pegawai yang terpalit dalam sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan reputasi dan nama baik jabatan itu, terutamanya daripada aspek integriti.

“Mana-mana pihak yang didapati bersalah melakukan kesalahan, tindakan tegas akan diambil berpandukan kepada peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Terdahulu, dalam Perhimpunan Setia JPJ Kelantan, seramai 10 pengamal media di Kelantan daripada pelbagai agensi termasuk wakil Bernama, menerima sijil penghargaan dalam membantu JPJ menyebarkan maklumat.

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373