APMM patahkan cubaan seludup daun ketum di Kuala Jerlun

Estimate Reading Time: 2 minutes

ALOR SETAR, 1 April  — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah mematahkan cubaan menyeludup keluar hampir satu tan metrik daun ketum di perairan Kuala Jerlun dekat sini, awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata rampasan dibuat susulan penahanan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 0.3 batu nautika di muara Kuala Jerlun kira-kira 5.10 pagi.

“Sebaik menyedari kehadiran bot ronda, bot fiber tanpa nombor pendaftaran disyaki dinaiki dua suspek bertindak memecut dan menukar haluan ke kawasan cetek sebelum suspek nekad terjun ke laut dan berenang ke kawasan paya bakau yang berlumpur sebelum meloloskan diri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata anggota yang membuat pemeriksaan ke atas bot itu menemukan 90 bungkusan plastik hitam mengandungi bungkusan kecil daun ketum yang diikat rapi seberat hampir satu tan metrik dianggarkan bernilai RM180,000.

“Modus operandi digunakan ialah dengan membawa daun ketum pada waktu malam dan awal pagi menggunakan laut ekoran sekatan jalan raya pihak polis di laluan daratan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Risikan mendapati, penyeludupan daun ketum juga semakin rancak berikutan harga pasarannya (di negara jiran) mencecah RM180 sekilogram berbanding RM40 sekilogram (kg) di pasaran tempatan,” kata Mohd Zawawi.

Menurutnya, kesemua barang rampasan termasuk bot dan enjin kemudian dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta racun 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata sehingga 31 Mac lepas, sebanyak 2,300kg daun ketum yang bernilai RM414,000 berjaya dirampas oleh pihaknya.

Katanya, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan operasi dan pemantauan di perairan negara bagi membendung aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim.

APMM mengalu-alukan aduan orang ramai yang mengetahui tentang sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut menerusi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia , Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373