Arteta bingung Arsenal kemarau gol

Estimate Reading Time: 2 minutes

LONDON: Kegagalan Arsenal untuk menjaringkan gol menjejaskan musim yang bermula penuh dengan harapan ketika pengurus Mikel Arteta kelihatan bingung kenapa pasukannya semakin kemarau gol.

Pasukan kendaliannya mengalami kekalahan ketiga berturut-turut awal pagi tadi apabila tumbang 2-0 di laman sendiri kepada Liverpool pada pusingan ketiga Piala FA Inggeris sekalipun banyak peluang dicipta pada babak pertama seharusnya membawa mereka ke undian pusingan berikutnya.

Anak buah Arteta sudah melakukan 61 percubaan dalam tiga perlawanan terakhir – kalah 2-0 di laman sendiri di tangan West Ham United dan 2-1 kepada Fulham, kedua-duanya dalam Liga Perdana Inggeris dan tersingkir di tangan Liverpool pada Piala FA awal pagi tadi – dan hanya menyumbat satu gol.

Ketika 7,000 penyokong Liverpool hadir memberi sorakan dan meraikan kemenangan, Arsenal meninggalkan Stadium Emirates memikirkan keperluan untuk mencari penyerang baharu pada jendela perpindahan musim sejuk.
Reiss Nelson, Kai Havertz dan Bukayo Saka semuanya mensia-siakan peluang keemasan menentang Liverpool manakala kapten Martin Odegaard dinafikan oleh palang gol.

Ditanya kenapa pasukannya tidak mampu meledak gol berdepan benteng Liverpool yang kehilangan Virgil van Dijk kerana sakit, Arteta jelas bingung memikirkannya.

“Ya, ia mengecewakan tetapi apa yang boleh kami lakukan? Saya tidak katakan mereka bermain teruk, tidak melakukan percubaan dan menjaringkan satu gol sendiri,” kata pengendali warga Sepanyol itu kepada wartawan.

“Saya tidak lihat satu pasukan dalam tempoh enam bulan terakhir mampu menjana apa yang kami lakukan menentang mereka. Kami tidak menggunakan kesempatan. Apabila pasukan saya bermain dengan keberanian dan sikap sebegitu menentang mungkin pasukan terbaik di Eropah ketika ini, apa yang saya boleh lakukan selain mengharapkan mereka.”

Arteta berkata, penyerang Brazil, Gabriel Jesus memerlukan imbasan selepas mengalami kesakitan di lututnya tetapi berharap ia “tidak besar.”

Ditanya sama ada penyerang baharu akan tiba pada jendela perpindahan Januari untuk mengukuhkan semula cabaran, Arteta menambah: “Satu perkara adalah apa yang kami perlukan dan satu lagi apa yang kami boleh buat. Apa yang kami boleh buat adalah bergantung harap kepada kelompok pemain ini.”

Arsenal, yang mengharungi empat perlawanan tanpa menang, tidak akan beraksi sekali lagi hingga 20 Januari depan apabila mereka melayan kunjungan Crystal Palace dalam Liga Perdana.
– REUTERS
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373