Azmin Ali bakal kembali jadi MB Selangor

Estimate Reading Time: 2 minutes

TANJONG KARANG, 1 Feb 2023 (The Capital Post): Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan mencalonkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya menang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang perlu diadakan sebelum Jun tahun ini.

Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Selangor, Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanafi, berkata peluang sentiasa terbuka kepada bekas Menteri Besar Selangor itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa untuk kembali memimpin negeri ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang bagaimanapun berkata, segala keputusan terletak kepada kebijaksanaan kepimpinan PN bagi menentukan calon terbaik menjawat jawatan penting berkenaan.

“Peluang sentiasa terbuka kepada Azmin sekiranya berjaya memenangi peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Zulkafperi berkata, PN juga yakin ke arah itu berdasarkan pengalaman Azmin yang dilihat membantu kemenangan di Selangor nanti.

Namun, beliau berkata, Azmin juga Ketua Penerangan PN dilihat berdepan tugas berat mempertahankan kerusi DUN Bukit Antarabangsa yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kerusi itu dijangka sengit kerana pengundi Melayu tidak sampai 50 peratus dan ia semestinya sukar. Kita tidak menolak kemungkinan sama ada beliau kekal atau memilih DUN lain yang mungkin berpihak kepada PN,” katanya.

Untuk rekod, Azmin menjawat jawatan Menteri Besar Selangor dari 2014 hingga 2018 dan menjadi ADUN Bukit Antarabangsa sejak 2008.

Dalam pada itu, Dr Zulkafperi berkata, PN melahirkan keyakinan mampu memenangi 33 kerusi DUN pada PRN nanti. Untuk rekod, DUN Selangor mempunyai 56 kerusi.

Beliau berkata, jentera PN ketika ini dalam keadaan siap siaga dan berada pada tahap terbaik.

“Hasil pemerhatian mendapati ramai anak muda semakin kuat menyokong PN terutama menerusi platform media sosial.

“Saya yakin PN mampu menawan Selangor menerusi penyatuan ummah antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS.

“Kita mahu gelombang orang Melayu diteruskan dengan memberi sokongan kepada PN dan menolak PH (Pakatan Harapan) dan BN (Barisan Nasional),” katanya.

-BH

(The Capital Post)

Comments (0)
Add Comment