Bandar Purba Si Thep di Thailand disenarai Warisan Dunia UNESCO

Estimate Reading Time: 2 minutes

BANGKOK: Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memasukkan Bandar Purba Si Thep di Thailand dan monumen Dvaravati yang berkaitan di wilayah utara Phetchabun ke dalam Senarai Warisan Dunianya.

Bandar Lama Si Thep adalah tapak Warisan Dunia UNESCO yang ketujuh di Thailand.

Tapak Warisan Dunia UNESCO lain di Thailand termasuk bandar bersejarah Ayutthaya, bandar bersejarah Sukhothai dan bandar bersejarah yang berkaitan, Santuari Hidupan Liar Thungyai-Huai Kha Khaeng, Tapak Arkeologi Ban Chiang, Kompleks Hutan Dong Phayayen-Khao Yai dan Kompleks Hutan Kaeng Krachan.

Sesi lanjutan ke-45 Jawatankuasa Warisan Dunia (WHC), yang diadakan di Riyadh, Arab Saudi, pada Selasa mencatatkan Bandar Purba Si Thep dan monumen Dvaravati yang berkaitan dalam Senarai Warisan Dunia di bawah Konvensyen 1972 Berkenaan Perlindungan Warisan Kebudayaan dan Alam Semula Jadi Dunia UNESCO.

Bandar Purba Si Thep dan monumen Dvaravati yang berkaitan merupakan hartanah tiga bahagian: tapak bandar kembar yang berbeza, menampilkan Bandar Dalam dan Luar yang dikelilingi oleh parit; monumen purba Khao Klang Nok yang besar dan monumen purba Gua Khao Thamorrat.

Tapak-tapak itu mewakili seni bina, tradisi seni dan kepelbagaian agama Empayar Dvaravati yang berkembang di Thailand Tengah dari abad ke-6 hingga ke-10, menunjukkan pengaruh dari India.

Sementara itu, Perdana Menteri Srettha Thavisin menyatakan rasa terima kasih yang mendalam kepada UNESCO atas penyenaraian Bandar Purba Si Thep dan monumen Dvaravati yang berkaitan.

Penyenaraian itu menandakan permulaan kerjasama dan tindakan kolektif untuk memulihara, mengembalikan dan melindungi tapak yang tidak ternilai ini untuk menjadi pusat pembelajaran dan khazanah bukan sahaja untuk orang di seluruh dunia tetapi juga untuk generasi masa depan.

“Saya berharap untuk menyambut kedatangan anda semua ke tapak warisan dunia luar biasa kami di Bandar Purba Si Thep selain untuk berganding bahu dalam pemuliharaan dan pembangunan ekopelancongan lestari bersama-sama dengan rakyat Thailand,” katanya dalam video yang dimuat naik di “X.”

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar berkata penyenaraian Bandar Purba Si Thep sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO membawa kebanggaan besar kepada rakyat Thailand.

“Ia meningkatkan kesedaran antarabangsa terhadap nilai-nilai dan kepentingan Bandar Purba Si Thep sebagai tapak Warisan Dunia budaya,” katanya.
-Bernama
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373