Bank disaran terus bantu individu, PKS memerlukan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bank-bank disarankan untuk terus menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman kepada individu dan PKS yang memerlukan, termasuklah bantuan penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata industri perbankan diingatkan supaya memainkan peranan yang penting dalam mendorong pertumbuhan ekonomi pasca pandemik, terutamanya dalam membantu peminjam yang masih terkesan dan menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan.

Pada masa yang sama, beliau berkata peminjam yang bermasalah boleh mendapatkan khidmat nasihat secara percuma dan bantuan bayaran balik pinjaman melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

“Industri perbankan perlu terus menyokong pembangunan usahawan mikro terutama golongan rentan melalui inisiatif seperti i-TEKAD yang menawarkan modal permulaan dan pembiayaan mikro dengan menggunakan sumber gabungan dana daripada institusi kewangan dan dana kewangan sosial seperti zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan sempena sesi dialog Perdana Menteri bersama-sama wakil sektor perbankan pada Rabu lalu.

Sesi dialog itu dihadiri oleh Datuk Jessica Chew, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Jessica Chew serta pemimpin bank seperti AMBank, Al-Rahji Bank, Bank Islam Malaysia, CIMB, HSBC Bank, Maybank, Public Bank, RHB Bank dan Standard Chartered Bank.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bertekad untuk mempertingkatkan lagi usaha dalam merancakkan momentum pertumbuhan ekonomi dan melaksanakan konsolidasi fiskal bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan selaras dengan konsep Malaysia MADANI.

Beliau berkata, pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada ‘A-‘ dengan tinjauan stabil oleh agensi penarafan S&P Global Ratings (S&P) baru-baru ini membuktikan hala tuju ekonomi negara berada pada landasan yang betul.

Katanya, ia susulan pelbagai ikhtiar yang diambil bagi menyokong momentum pertumbuhan dan mengurangkan tekanan inflasi.

“Namun, pengukuhan ekonomi itu mungkin tidak dapat dirasai sepenuhnya oleh rakyat yang masih bergelut dengan kos sara hidup dan juga PKS yang sedang pulih daripada pandemik,” katanya.

Selasa lalu, S&P menjelaskan bahawa rasional pengekalan penarafan didorong oleh kedudukan luaran yang kukuh dan fleksibiliti dasar monetari, serta kadar pertumbuhan ekonomi yang pesat berbanding negara berpendapatan setara yang lain.

Sementara itu, tinjauan yang stabil mencerminkan jangkaan kekuatan momentum pertumbuhan negara serta kekukuhan kedudukan luaran bagi tempoh dua tahun akan datang.

S&P juga mengakui wujudnya komitmen politik untuk meneruskan langkah konsolidasi fiskal pasca pandemik.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut menggesa industri kewangan membawa wadah segar dalam mengekalkan Malaysia sebagai peneraju global bagi kewangan Islam serta membina kekuatan sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Beliau berkata, ketika kerajaan sedang merumus Naratif Ekonomi MADANI, termasuk mengenal pasti sektor keutamaan bagi pertumbuhan dan pelaburan masa hadapan negara, industri kewangan dan pasaran modal berinovasi perlu selari dengan perubahan landskap global.

Sesi dialog bersama-sama wakil sektor perbankan diadakan itu adalah sesi ketiga seumpamanya yang diadakan bersama Perdana Menteri.

Sebelum ini, Anwar berjumpa dengan pemimpin perniagaan dan pakar-pakar ekonomi.

Antara perbincangan termasuk dasar-dasar bagi memastikan industri kewangan di Malaysia kekal relevan dan inklusif dalam menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Wakil industri perbankan yang hadir turut bersetuju bahawa tumpuan kini terarah kepada usaha untuk memacu peralihan ke arah negara karbon sifar bersih serta agenda pendigitalan yang lebih meluas.

Perbincangan turut menyentuh bidang-bidang pertumbuhan baharu yang boleh memperkukuh saranan nilai Malaysia dalam kalangan pelabur serantau dan global.

Segala pandangan yang dikongsikan akan digunakan untuk membentuk Naratif Ekonomi MADANI yang sedang dirangka bagi mencorakkan hala tuju ekonomi negara dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang, dan akan dilancarkan Ogos tahun ini.

Dasar dan keutamaan ekonomi di bawah Kerajaan Perpaduan juga akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam Pelan Induk Perindustrian (Ogos 2023), Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (September 2023) dan Belanjawan 2024 (Oktober 2023).

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373