Bank Islam terima 108,936 permohonan bantuan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) menerima 108,936 permohonan di bawah Pakej Bantuan Pembayaran PEMULIH (BPP) sejak ia dibuka 7 Julai lalu membabitkan jumlah pembiayaan tertunggak hampir RM12.63 bilion.

Bank Islam dalam satu kenyataan berkata, jumlah itu membabitkan seramai 108,846 pelanggan individu dengan jumlah pembiayaan tertunggak sebanyak RM12.6 bilion dan 90 permohonan daripada pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro berjumlah hampir RM29.43 juta.

“Sebagai sokongan kepada pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang dilancarkan kerajaan, BPP menawarkan pilihan moratorium selama enam bulan atau pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan kepada pelanggan yang layak.

“Permohonan dibuka kepada pelanggan daripada segmen B40, M40 atau T20, PKS dan perusahaan mikro yang terjejas akibat pandemik semasa.

“Permohonan untuk BPP masih dibuka kepada pelanggan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, berkata bantuan pembayaran itu memberikan kelonggaran kepada komitmen kewangan pelanggan buat sementara waktu dan memberi ruang agar mereka dapat menyemak semula kedudukan kewangan masing-masing.

“Bank sentiasa proaktif untuk berurusan dengan pelanggan untuk mengenal pasti keperluan mereka serta menyediakan sokongan diperlukan bagi membantu mereka membuat keputusan bermaklumat yang bersesuaian dengan keadaan semasa,” katanya.

Selain BPP, Bank Islam turut menawarkan program Penjadualan dan Penstrukturan yang bersesuaian dengan kehendak pelanggan bagi pelan bayaran berpatutan.

PKS dan perusahaan mikro yang layak juga dapat menikmati Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PTF) untuk pelanggan dalam sektor pelancongan; dan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) untuk pelanggan dalam sektor perkhidmatan.

Baru-baru ini, Bank Islam melancarkan Kemudahan Automasi dan Digitalisasi (ADF) untuk PKS yang memerlukan insentif untuk mengautomasi proses dan pendigitalan operasi supaya perniagaan yang dimiliki lebih cekap.

Bank Islam turut menawarkan Program BIC-i Balance Conversion (BBC) untuk pemegang kad kredit yang memerlukan sokongan kewangan sementara.

Ahli Kad Kredit-i Bank Islam yang layak boleh menukarkan amaun prinsipal untuk baki penyata tertunggak kepada pelan ansuran di bawah kemudahan pembiayaan bertempoh pada kadar keuntungan efektif 13 peratus setahun untuk tempoh 36 bulan.

Mengulangi kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Islam memberi jaminan kepada pelanggan bahawa rekod dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) tidak akan terjejas sekiranya memilih untuk mendapatkan bantuan bayaran.

Mohd Muazzam berkata, bank itu mengakui bahawa pandemik memberi kesan berbeza kepada setiap pelanggan, selain Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan akan turut menjejaskan aktiviti ekonomi.

“Sebagai bank yang Mendahulukan Kemakmuran untuk Semua, kami komited untuk menyokong daya tahan pelanggan dalam menguruskan komitmen kewangan mereka terutama dalam tempoh tidak menentu ini.

Bank Islam turut menggesa pelanggan yang memerlukan sokongan untuk menghubungi kami dan menyatakan pilihan bantuan yang diperlukan.

“Jangan bimbang, kakitangan Bank Islam amat dedikasi dan bersedia menjawab persoalan anda pada bila-bila masa,” katanya.-METRO

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373