Bantuan bakul makanan turut diagih di kampung terpencil – PKOB Lahad Datu

Estimate Reading Time: 2 minutes

LAHAD DATU, 2 Nov — Walaupun berada 133 kilometer dari sini, namun penduduk Mukim Tambisan di Daerah Lahad Datu, tidak terkecuali daripada perhatian Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk menerima bantuan bakul makanan.

Penduduk mukim berkenaan merupakan antara penduduk di 78 daerah di Lahad Datu yang telah menerima 11,402 bakul makanan yang telah diedarkan di daerah itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di seluruh Sabah pada 13 Okt hingga 26 Okt sebelum dilanjutkan hingga 9 Nov ini.

Pengerusi PKOB Lahad Datu, Juraimin Jadil berkata walaupun agihan bakul makanan pada ketika ini memberi keutamaan kepada penduduk dalam lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) namun penyaluran bantuan bakul makanan ke kampung-kampung seperti di Tambisan tidak diabaikan.

“Kita ada tiga lokaliti PKPD yang mana, dua daripadanya iaitu Pangsapuri Mutiara Kasih serta Taman Khazanah Indah, kita edar dua kali bakul makanan selepas kawasan itu dikuatkuasakan PKPD pada 13 Okt dan dilanjutkan sehingga 9 Nov ini.

Manakala pada 24 Okt lepas satu lagi lokaliti diisytiharkan PKPD di Anjung Teduh, Felda Sahabat, Tungku sehingga 6 Nov dan PKOB bertindak mengagihkan bakul makanan kepada penduduk, sehari sebelum menjalani PKPD,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Juraimin pengagihan pada ketika ini adalah bersasar namun akan mengusahakan agihan bakul makanan kepada semua penduduk di daerah ini dengan memohon dana tambahan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 negeri.

“Setakat ini kita berpuas hati pada pengagihan itu walaupun ada sedikit (kekangan) sebab data yang kita ada berpandukan profail kampung sahaja dan didapati ianya tidak dikemas kini hingga bakul makanan yang kita peruntukkan itu tidak mencukupi.

Jadi saya masih tunggu dari kerajaan negeri sama ada boleh menambah peruntukan dan kalau dapat pertambahan dana, ada kemungkinan kita akan dapat agih bantuan bakul makanan ini secara menyeluruh kepada penerima di daerah ini,” katanya.

Juraimin yang juga Pegawai Daerah Lahad Datu, menasihatkan penduduk kampung mengutamakan kesihatan dengan menjaga kebersihan diri, keluarga dan kebersihan dalam rumah sementara jawatankuasa pengurusan kampung perlu memastikan tidak ada orang luar memasuki kampung kecuali ada urusan penting ketika ini bagi membendung penularan COVID-19.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Membatu, Tungku, Mohd Masrik, 45, berkata edaran bakul makanan kepada penduduk ini merupakan tanda cakna kerajaan negeri kepada rakyat.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini, polis mengadakan banyak sekatan jalan raya, penduduk di kampung-kampung tidak berani keluar dan pemberian bakul makanan ini adalah tepat,” katanya lagi.

Seorang lagi penduduk Kampung Telisai, Tungku, Sitti Arni Ingkat, 33, berkata ramai yang terjejas sejak Mac lalu dan sehingga kini akibat COVID-19 dan bantuan kerajaan adalah dialu-alukan.

“Ramai yang hilang mata pencarian, perniagaan pun banyak tutup, bila ada bakul makanan serta bantuan kewangan seperti Bantuan Prihatin Nasional, itu cukup bermakna pada penduduk susah,” katanya lagi. -BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373