Bantuan RM500 kepada 750 pengusaha bas, van sekolah

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Seramai 750 pemandu dan pengusaha van serta bas sekolah akan menerima bantuan sekali beri berjumlah RM500 melalui program MAIWP Prihatin Kasih Asnaf 3.0 membabitkan peruntukan keseluruhan bernilai RM375,000.

Unit Komunikasi Korporat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), dalam kenyataan media, berkata peruntukan itu akan disalurkan kepada Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputera Kuala Lumpur dan Selangor sebelum diagihkan kepada penerima terbabit.

“Diharapkan bantuan disalurkan, sedikit sebanyak akan meringankan beban mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac tahun lalu.

“Sejak itu semua perkhidmatan bas dan van sekolah tidak berfungsi sepenuhnya sehingga kini,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi MAIWP, Datuk Dr Daud Bakar menyerahkan replika cek kepada Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputera Kuala Lumpur dan Selangor, Amali Munif Rahmat sebagai simbolik penyerahan sumbangan.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya dan Pengurus Bahagian Baitulmal, Ahmad Talmizi Yahaya.

Menurut kenyataan itu, pemberian bantuan ini adalah antara inisiatif diumumkan MAIWP bagi membantu mereka yang terjejas pendapatan berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh sejak 1 Jun lalu.

Sejak pelaksanaan PKP dan penutupan sekolah, semakin ramai pengusaha bas dan van sekolah terpaksa menamatkan perkhidmatan kerana tidak lagi mampu beroperasi dan membayar gaji pekerja.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373