Bekas pengurus akaun dipenjara 66 bulan, denda RM283,500 pecah amanah lebih RM5 juta

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus akaun di sebuah syarikat pengangkutan swasta dihukum penjara 66 bulan dan denda RM283,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 81 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM5,502,414 dengan meniru tandatangan pengarah syarikat itu sejak lapan tahun lepas.

Hakim Hasbullah Adam menjatuhkan hukuman itu ke atas Teo Chee Peng, 53, yang bekerja di syarikat Public Cab Sdn Bhd dan Ken Chuan Enterprise selepas dia mengekalkan pengakuan bersalah atas pertuduhan itu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun enam bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap bermula 2 Julai lepas.

Hakim itu juga menjatuhkan hukuman denda RM3,500 bagi setiap pertuduhan dan penjara tujuh hari sekiranya dia gagal membayar denda.

Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan tertuduh daripada 42 pertuduhan selepas mengambil kira pertimbangan oleh pihak pendakwaan berikutan tertuduh memindahkan beberapa harta alih dan harta tak alih kepada pengadu (Yap Choon Lai, pengarah dan pemilik Public Cab Sdn Bhd dan Ken Chuan Enterprise).

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Hajar Hamzah berkata setelah meneliti kertas siasatan dan representasi yang dihantar oleh pihak pembelaan, pihak pendakwaan telah bersetuju untuk mengambil kira pertimbangan  bagi 42 pertuduhan.

“Oleh yang demikian saya percaya bagi 42 pertuduhan akan diambil kira seterusnya 81 pertuduhan diteruskan,” katanya dan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Ketika membuat keputusan itu, Hakim Hasbullah berkata adalah adil dan wajar mengenakan hukuman penjara dan denda ke atas tertuduh selepas mengambil kira pengakuan salahnya serta usaha untuk menebus kesalahan dengan memindah milik beberapa harta alih dan harta tak alih miliknya kepada pengadu. 

Pada 6 Julai lepas, Teo mengaku bersalah atas 123  pertuduhan pecah amanah berjumlah RM5,502,414 dengan meniru tandatangan pengarah syarikat itu sejak lapan tahun lepas.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, tertuduh sebagai ketua akaun syarikat ketika itu didakwa melakukan pecah amanah dengan mengeluarkan 123 cek berjumlah RM5,502,414 kepada syarikat Revolusi Angkasa Sdn Bhd dengan meniru tandatangan Yap, 64.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Jalan 1/46A Off Jalan Selinsing 7, Taman Niaga Waris di sini antara 12 Mei 2012 sehingga 17 Mac ini mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda.

Terdahulu peguam Tia Poh Yew yang mewakili tertuduh memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira anak guamnya tidak mempunyai kesalahan jenayah lampau dan dia juga telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis sepanjang siasatan dijalankan.

“Anak guam saya juga telah memindahkan dua hartanah bernilai RM2 juta dan juga sebuah kereta Audi A6 bernilai RM400,000 kepada pengadu sebagai pembayaran balik.

“Anak guam saya juga bercadang untuk memindah milik hartanah iaitu sebuah unit kondominium bernilai RM500,000,” katanya yang turut memaklumkan anak guamnya telah bekerja dengan syarikat itu sejak 27 tahun yang lalu.

– BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373