Berganding bahu jadikan bahasa Melayu lingua franca di ASEAN

Estimate Reading Time: 2 minutes

Hasrat untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu bukan hal yang remeh. Ketegasan untuk melaksanakannya terlihat jelas apabila Jabatan Perdana Menteri menganjurkan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu dari 22 hingga 24 Mei lalu di Kuala Lumpur.

Sebagai seorang peserta yang terbabit dalam simposium itu dapat dilihat dengan jelas bahawa Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan pengarah simposium, Dr Kamarul Zaman Yussof sudah menggalas tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan cemerlang.

Bukan satu perkara mudah untuk merancang dan melaksanakan program berskala besar dalam tempoh begitu singkat.

Ilmuwan dari hampir 17 buah negara berhimpun dan membentangkan makalah berkaitan bahasa Melayu. Apa yang menarik dalam simposium itu adalah panel pembentang, lebih-lebih lagi dari luar Asia Tenggara seperti Amerika Syarikat, Russia, Belanda, China, Korea Selatan, Uzbekistan, Azerbaijan dan Jerman bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik.

Apa yang dapat disimpulkan daripada 15 sidang yang dijalankan dalam simposium itu, ternyata hasrat Perdana Menteri bukan omong kosong, jauh sekali bersifat ‘hangat-hangat tahi ayam’ yang sering diperkatakan oleh segelintir pihak. Malah, ia tidak boleh dilihat sebagai strategi politik beliau untuk meraih sokongan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Sebaliknya ia adalah hasrat dan keputusan tepat lagi signifikan serta kena pada masanya.

Boleh dikatakan simposium itu adalah strategi serampang dua mata, ia bukan sahaja satu usaha susulan untuk memartabatkan bahasa Melayu, bahkan sebagai taktik untuk menghentikan suara-suara sumbang yang menidakkan kedudukan dan kepentingan bahasa Melayu pada peringkat global.

Hal ini kerana hampir semua panel pembentang yang hadir menyatakan sokongan mereka secara terang-terangan terhadap usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu. Malah, mereka menegaskan usaha ini sepatutnya sudah dilaksanakan sejak dahulu. Rata-rata panel pembentang berkongsi fakta berkaitan bahasa Melayu dengan bukti yang tidak boleh pertikaikan oleh mana-mana pihak.

Antaranya termasuk perkembangan bahasa Melayu, seawal abad ketujuh di Asia Tenggara. Kemunculan kerajaan Melayu lain seperti Kesultanan Melayu Melaka, Riau-Lingga, Pahang dan Kedah Tua turut melonjakkan peranan bahasa Melayu sebagai lingua franca. Pedagang asing yang tiba ke Nusantara mengambil usaha untuk mempelajari bahasa Melayu, atau setidak-tidaknya membawa penterjemah bersama mereka untuk berkomunikasi dengan masyarakat tempatan dalam soal hubungan diplomatik dan juga perdagangan.

Dalam pada itu, kita juga tidak harus lupa bahawa pihak British meletakkan antara syarat untuk rakyat mereka berkhidmat di sektor perkhidmatan awam Tanah Melayu adalah harus fasih berbahasa Melayu.

Untuk menyokong perjuangan pejuang bahasa Melayu, kita sebagai rakyat Malaysia harus memahami sejarah perkembangan bahasa itu terlebih dahulu. Hanya dengan mengetahuinya, barulah kita tidak akan mengeluarkan sebarang kata-kata negatif terhadap usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu, sebaliknya bersatu padu dan bergerak seiringan untuk merealisasikan aspirasi kerajaan.

Di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu diperuntukkan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Bukan itu sahaja, beberapa akta rasmi seperti Penyata Razak 1956, Akta 1963 dan Akta 1967 diluluskan bagi mengukuhkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa teras dalam institusi pendidikan tempatan. Bahkan di bawah Perkara 159 (5), diluluskan satu peruntukan khas yang menyaksikan tidak boleh ada sebarang pindaan terhadap Perkara 152 tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu yang menggambarkan betapa pentingnya kedudukan bahasa Melayu di negara ini.

Tuntasnya marilah kita, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan budaya berpegang tangan dan menyokong padu usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu.

Penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN akan menjadi satu kejayaan bersama. Diharapkan lebih banyak usaha diambil oleh banyak pihak, tidak kira di sektor kerajaan ataupun swasta dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bukti sokongan rakyat terhadap aspirasi kerajaan Malaysia.

Dr Jayakumary Marimuthu
IPG Kampus Darulaman,
Jitra, Kedah

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373