Bicara kes bunuh 23 penghuni pusat tahfiz sambung Jun depan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Prosiding bela diri seorang remaja lelaki yang didakwa membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dalam tragedi kebakaran tiga tahun lalu, akan bersambung pada 11 dan 12 Jun ini di Mahkamah Tinggi di sini.

Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, berkata perkara itu dimaklumkan oleh pihak mahkamah menerusi e-mail yang dihantar pada 12 Mei lalu.

“Mahkamah menghantar e-mail itu selepas mendapatkan tarikh yang sesuai daripada pihak pendakwaan dan peguam.

“Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh sambung bicara yang baharu namun telah dilapangkan,” katanya kepada Bernama.

Pada 20 April lalu, peguam Mohd Haijan Omar yang mewakili remaja itu yang kini berumur 19 tahun memberitahu bahawa anak guamnya telah selesai memberi keterangan.

Beliau berkata pihak pembelaan akan memanggil tiga lagi saksi.

Remaja itu memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi pada 2 dan 3 Mac lalu.

Pada 28 Januari lalu, Hakim Datuk Azman Abdullah memerintahkan remaja terbabit membela diri atas pertuduhan berkenaan, manakala rakannya yang juga berumur 19 tahun dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membeli diri atas pertuduhan sama.

Dua remaja lelaki yang ketika kejadian berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara 4.15 pagi dengan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Mereka masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Mengikut Seksyen 94 akta sama juga mahkamah mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Tragedi kebakaran menyayat hati yang berlaku kira-kira 5.15 pagi itu, menyebabkan seramai 21 pelajar dan dua warden maut, selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan. – BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373