Bila pelajar akan dapat 150,000 komputer riba dijanjikan dalam bajet, tanya Ahli Parlimen DAP

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen DAP menggesa kerajaan menjelaskan rancangannya untuk pembelajaran di rumah susulan penutupan sekolah, termasuk bila ia akan memberikan 150,000 komputer riba yang dijanjikan dalam belanjawan persekutuan.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, dengan berbaki hanya satu zon hijau Covid-19 di Semenanjung Malaysia, pembelajaran di rumah tidak dapat dielakkan.

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan mengumumkan semua pelajar sekolah rendah dan menengah akan kekal di rumah serta mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mulai 20 Jan ini.

Bekas timbalan menteri pendidikan itu berkata, Putrajaya sebelum ini mengumumkan syarikat berkaitan kerajaan akan menyumbang RM150 juta untuk menyediakan komputer riba kepada 150,000 pelajar di 500 sekolah.

Teo Nie Ching.

Katanya, tinjauan Kementerian Pendidikan membabitkan 670,000 ibu bapa pada tahun lalu mendapati 36.9% daripada kira-kira 900,000 pelajar tidak mempunyai sebarang peranti untuk mengikuti pembelajaran dalam talian.

“Untuk memastikan pembelajaran di rumah dapat dijalankan dengan berkesan, Kementerian Pendidikan perlu menjelaskan kepada ibu bapa, khasnya mereka daripada B40 bila 150,000 komputer riba ini akan siap dan diagihkan kepada pelajar.”

Teo berkata, pelajar perlu diberikan salinan cetak buku teks, selain buku teks digital kerana ramai yang tidak mempunyai akses kepada peranti digital.

“Walaupun mereka yang mempunyai peranti digital, penggunaan berpanjangan tidak dinasihatkan untuk kanak-kanak.

“Ibu bapa dan pelajar perlu diberikan pilihan mengambil buku teks dari sekolah untuk pembelajaran dalam talian.”

Katanya, Kementerian Pendidikan perlu sedar tiada pendekatan menyeluruh yang sesuai untuk semua dan perlu mengambil kira tahap pendapatan berbeza serta jurang digital di seluruh negara.

-FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373