BNM lulus lima lesen bank digital

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) memberikan lima lesen daripada 29 permohonan yang diterima bagi perkhidmatan bank digital di negara ini dengan dua daripadanya membabitkan syarikat luar negara.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pemberian lesen itu dibuat selepas melalui penilaian penuh teliti selaras mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) bagi pemohon lesen bank digital.

Beliau berkata penilaian penuh juga teliti mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Akta 759) bagi pemohon lesen bank Islam digital.

“Daripada lima penerima lesen itu sehingga 29 April 2024, hanya satu yang baru meletakkannya di platform aplikasi, manakala empat lagi belum diletakkan di platform digital dan masih dibuat persiapan.

“Dalam menilai semua permohonan, BNM mengambil kira faktor dalam Jadual 5 akta berkenaan dan keperluan dasar lain yang berkaitan.

“Pertimbangan utama dalam penilaian semua lesen bank digital adalah keupayaan bank digital untuk beroperasi dengan selamat,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan R Yuneswaran (PH-Segamat) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan perkara dinilai dengan teliti dalam memuktamadkan kelulusan terhadap pelesenan perbankan digital yang diberikan kepada GXBank, dikendalikan syarikat Grab.

Pada masa sama, menjawab soalan tambahan Yuneswaran berhubung keselamatan data peribadi pengguna, Ahmad berkata, mereka mempunyai pilihan untuk menggunakan perkhidmatan bank digital dari dalam negara jika wujudnya kebimbangan berhubung aspek itu.

“Apabila kita bersetuju untuk membuka akaun di sesebuah bank, maka tentulah ada beberapa perkara ditandatangani dari segi kontrak dan sebagainya. Di Malaysia, daripada 26 bank yang beroperasi, hanya lapan dipunyai dalam negara.

“Sementara 18 lagi adalah dari luar negara jadi kalau kita menyatakan kebimbangan data dan sebagainya dimiliki pihak luar negara maka daripada lima lesen digital bank, dua adalah dimiliki luar negara termasuk GXBank dan Aeon Digital Bank.

“Tetapi ada tiga pilihan lain bank digital yang dimiliki dalam negara,” katanya.

Beliau berkata, bank digital dijangka dapat meningkatkan lagi rangkuman kewangan kepada segmen yang tidak atau kurang mendapat perkhidmatan kewangan.

Katanya, melalui penggunaan teknologi yang menyeluruh, bank digital boleh memberikan lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk mengambil bahagian dalam kegiatan ekonomi dengan mengatasi halangan geografi, mengurangkan kos transaksi dan menggalakkan pengurusan kewangan lebih baik.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373