Bomba Sarawak sediakan 45 bot penyelamat sebagai persiapan hadapi banjir

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUCHING, 17 Nov — Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak menyediakan 45 buah bot penyelamat yang akan ditempatkan di tiga Pangkalan Hadapan Wilayah di Kuching, Sibu dan Miri, sebagai persiapan menghadapi bencana banjir, ketika Monsun Timur Laut hujung tahun ini.

“Bot penyelamat ini dibawa dari 34 buah balai bomba dan ini tidak termasuk bot-bot yang akan diguna pakai oleh pasukan bomba sukarela dan bomba komuniti, di mana mereka memiliki bot sendiri,” kata Pengarah JBPM Sarawak Khirudin Drahman dalam sidang media di Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya, di sini hari ini.

Khirudin berkata selain bot, sebanyak 67 unit kenderaan pacuan empat roda, 16 unit lori dan sebuah helikopter turut disediakan bagi menghadapi bencana ini.

Beliau berkata setakat ini belum ada keperluan untuk membatalkan cuti tahunan seramai 1,194 anggota JBPM di negeri berkenaan dan daripada jumlah itu, antara 15 dan 20 peratus anggota sedang bercuti.

“Bagi anggota yang bertugas syif 24 jam, setakat ini kita tidak ada masalah untuk mengerak atur pegawai kita dan dalam masa sama, kita juga dibantu seramai 230 orang anggota bomba bantuan yang ditempatkan di balai,” katanya.

Di samping itu, jabatan itu juga akan turut dibantu seramai 2,259 anggota pasukan bomba sukarela, 10,107 peserta Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT), 7,453 peserta bomba komuniti, dan 820 orang peserta program ‘Summer Camp’ JBPM, di seluruh Sarawak.

Menurut Khairudin, Monsun Timur Laut akan menyebabkan taburan hujan yang banyak berlaku di kawasan pesisir pantai bahagian barat Sarawak, meliputi kawasan Sri Aman, Simunjan, Samarahan dan Sebuyau. -BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373