Boost tawar tiga pelan perlindungan baharu

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Penyedia e-dompet tempatan, Boost memperkenalkan tiga pelan mikro insurans dan takaful di bawah ‘Boost Protect’ iaitu MozzieProtect, FamilyProtect serta Critical Illness Care.

Produk terbaharu itu juga adalah tambahan kepada produk insurans dan takaful mampu milik dengan perlindungan premium untuk rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah, berkata Boost kini mempunyai 13 pelan perlindungan yang tersedia untuk dimiliki dengan ditaja jamin oleh tiga anak syarikat Great Eastern iaitu Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Bhd, Great Eastern General Insurance (Malaysia) Bhd dan Great Eastern Takaful Bhd.

“Dalam situasi disebabkan COVID-19 hari ini, rakyat mengutamakan perlindungan bagi memelihara kesihatan serta menanggung impak kehilangan pendapatan. Pelaksanaan sekatan pergerakan penuh juga membuatkan rakyat semakin cermat dalam berbelanja.

“Ini adalah antara faktor Boost memperkukuhkan tawaran e-dompet, termasuk pelan mampu milik dan bersaiz kecil yang tetap memberi perlindungan premium,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Khairil berkata, pelan terbaharu Boost itu boleh diakses melalui fungsi ‘Insurans’ pada laman utama aplikasi Boost untuk dipilih oleh pengguna.

Beliau berkata, sebagai manfaat tambah nilai, tiga pelan baharu itu disertakan Dana Vaksin COVID-19, yang memberikan manfaat tunai hospital harian sebanyak RM200 sehari sehingga tujuh hari untuk kemasukan hospital.

Dana ini juga, katanya, menawarkan bayaran sekali gus sebanyak RM10,000 bagi setiap hayat sekiranya kematian berkaitan dengan Kesan Advers Berikutan Pelalian (AEFI) dalam tempoh 30 hari selepas menerima Vaksin COVID-19, atau daripada tarikh kemasukan hospital akibat AEFI (mana yang kemudian).

Katanya, Boost juga menyertakan ciri bayaran berkala yang baharu, membolehkan pengguna membuat bayaran atau caruman secara automatik untuk pelan perlindungan setiap bulan tanpa perlu membeli atau menyertai semula pelan.

Ciri pembayaran atau caruman berkala baharu ini, katanya, boleh digunakan untuk enam pelan perlindungan, khususnya BillProtect, CardProtect, HospiCash, Protect Super6, ProtectActive, dan SME OwnerProtect.

“Boost akan melancarkan kempen bermula hari ini sehingga 31 Ogos 2021 bagi menggalakkan rakyat mendapat perlindungan yang diperlukan. Pulangan tunai 100 peratus juga akan diberikan untuk bayaran premium atau caruman bulan pertama selain pulangan tunai Lazada sebanyak RM4,” katanya.

Boost pertama kali melancarkan produk mikro insurans dan takaful ‘Boost Protect’ pada Ogos 2020.

Sehingga Mei 2021, Boost merekodkan lebih daripada 23 kali ganda peningkatan langganan pelan perlindungan ‘Boost Protect’.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373