Brazil catat 881 kematian dalam tempoh 24 jam

Estimate Reading Time: < 1 minute

SAO PAULO: Brazil mencatatkan kes kematian tertinggi COVID-19 dalam masa sehari dengan 881 mangsa korban terbaharu sepanjang 24 jam lalu, menurut Kementerian Kesihatannya, semalam.

Brazil adalah negara di Amerika Latin yang paling teruk terjejas akibat pandemik itu.

Jumlah kematian keseluruhan di negara itu kini mencecah 12,400, dengan 177,589 kes baharu dilaporkan dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 9,258 kes daripada hari sebelumnya.

Rekod ini turut meletakkan Brazil sebagai negara keenam yang paling teruk terjejas akibat COVID-19 dan berada di belakang Amerika Syarikat, Britain, Itali, Perancis dan Sepanyol.

“Sudah tentu peningkatan kes sejak beberapa hari kebelakangan ini sangat membimbangkan,” kata ketua bahagian penyakit berjangkit di Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO) dalam satu taklimat di Washington.

Sementara itu, kebanyakan pakar berpandangan kes COVID-19 di Brazil dijangkakan lebih tinggi berikutan ujian saringan tidak dilakukan secara menyeluruh.

“Brazil hanya melakukan saringan kepada individu yang ditahan di hospital.

“Amat sukar untuk mengetahui keadaan sebenar jika dilihat melalui data sedia ada. Kami tidak mempunyai polisi sebenar bagi menguruskan wabak ini sehingga ia terus menular sebagaimana hari ini,” kata salah seorang pakar penyelidik, Domingo Alves, kepada AFP.

Beliau turut menganggarkan jumlah jangkitan sebenar di negara itu adalah 15 kali ganda lebih tinggi daripada angka rasmi yang didedahkan.

Sebelum ini, Brazil merekodkan angka kematian tertinggi pada 8 Mei lalu dengan 751 mangsa korban akibat COVID-19.

–AFP

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373