BSN, Visa bantu PMKS bina perniagaan guna e-dagang

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) memulakan kerjasama strategik dengan Visa bagi menggalakkan e-dagang dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menerusi kerjasama ini, BSN dan Visa komited untuk memupuk pembangunan PMKS melalui penganjuran program latihan perdagangan digital ‘Accelerate My Business’ (AMB).

Latihan bertujuan untuk memacu penggunaan pembiayaan digital yang akan meningkatkan ilmu kewangan PMKS bagi membolehkan mereka mempertimbangkan lebih banyak pilihan pembiayaan demi memajukan perniagaan masing-masing.

Seramai 750 PMKS BSN terpilih akan mengikuti 27 sesi latihan komprehensif yang dibahagiakan kepada dua bengkel modul bagi mengembangkan perniagaan mereka ke tahap lebih tinggi di 13 lokasi seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil, berkata bank itu sentiasa prihatin terhadap keperluan masyarakat dengan mempelbagaikan produk dan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan pelbagai segmen, sejajar dengan visinya ‘tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan’.

“Kami turut menyepadukan sumber dan program pendidikan kewangan dalam perkhidmatan bagi memastikan pelanggan mempunyai akses kepada literasi kewangan dan nasihat praktikal.

“Kerjasama strategik dengan Visa ini adalah bertepatan dengan misi kami untuk memacu transformasi digital mikro PKS bagi mempertingkatkan tahap operasi dan daya saing mereka dalam landskap perniagaan yang dinamik masa kini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sepanjang latihan dijalankan, peserta akan dilengkapi dengan kemahiran keusahawanan yang penting, meliputi pelbagai bidang seperti pengurusan perniagaan, celik kewangan, kecekapan operasi dan strategi pendigitalan.

Untuk memenuhi keperluan dan cabaran peserta yang pelbagai, program ini akan dikategorikan berdasarkan kepakaran keusahawanan, iaitu peringkat mula dan berpengalaman.

Selain itu, platform pembelajaran AMB akan memainkan peranan penting dalam menyediakan pelbagai sumber bimbingan praktikal kepada peserta.

Ini termasuklah aktiviti interaktif, lembaran kerja, alat penilaian kendiri, glosari dan bahan tambahan untuk menyokong perjalanan keusahawanan.

Sementara itu, Pengurus Negara Visa bagi Malaysia, Ng Kong Boon, berkata Visa menganggap perniagaan mikro dan kecil sebagai tunggak ekonomi Malaysia.

“Kami berbesar hati untuk berganding bahu dengan BSN dalam usaha memperkasakan usahawan melalui sumber dan alatan bagi memajukan perniagaan dan meningkatkan punca pendapatan mereka, lantas mewujudkan kesan sampingan positif seluruh masyarakat.

“Dengan terus membina asas yang kukuh berbekalkan ilmu kewangan dan perniagaan, kami boleh membantu mereka mencari cara baharu untuk menjana pertumbuhan dan berkembang maju,” katanya.

Menurut tinjau selidik ‘Back to Business’ kendalian Visa baru-baru ini, 90 peratus perniagaan kecil yakin dengan masa depan mereka.

Di samping itu, dalam kalangan perniagaan kecil yang mempunyai operasi dalam talian, sembilan daripada 10 bersetuju bahawa perniagaan mereka berjaya mengharungi tempoh pandemik selepas menggiatkan usaha perniagaan menerusi e-dagang.

Latihan AMB akan bermula pada Ogos 2023 hingga Mac 2024.
– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373