Budak 9 tahun lemas dalam tali air

Estimate Reading Time: 2 minutes

Melaka: Kanak-kanak lelaki ditemukan lemas dalam tali air, manakala rakannya dilaporkan hilang di Kampung Gelam, Tanjung Kling di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, Muhammad Fakrullah Rozami, 9, ditemukan lemas oleh ayahnya sendiri di dalam tali air sedalam 1.2 meter itu.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8.46 malam sebelum sepasukan pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, tiga kanak-kanak lelaki yang semuanya berusia sembilan tahun itu bermain di kawasan tali air yang terletak kira-kira 1.6 kilometer dari kediaman mereka.

Bagaimanapun, keseronokan itu bertukar tragedi apabila Muhammad Fakrullah lemas, manakala pasangan kembarnya sempat menyelamatkan diri dan pulang ke rumah untuk memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarganya.

“Seorang lagi rakan mereka pula yang dikatakan berada dalam ketakutan dipercayai terkejut, gagal dikesan sehingga kini.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini giat dijalankan di kawasan tali air berkenaan selain pencarian di daratan membabitkan radius kawasan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

“Pada peringkat awal, kita dimaklumkan rakan pasangan kembar itu juga mandi bersama, jadi pasukan bomba cuba membuat pencarian dalam air namun gagal menemuinya dan berdasarkan maklumat susulan yang diperoleh daripada mangsa yang selamat itu pula menyatakan rakannya tiada dalam air, sebaliknya melarikan diri.

“Justeru, pencarian kita sekarang tertumpu kepada mencari di daratan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, tengah malam tadi.

Seramai 20 anggota bomba dan empat anggota polis terbabit dalam operasi berkenaan sambil dibantu sekumpulan penduduk kampung.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kanak-kanak itu ditemukan oleh bapanya sendiri di dalam tali air dalam keadaan kakinya terbelit dengan tali plastik sebelum membawanya ke Klinik Kesihatan Tanjung Kling.

Kanak-kanak itu bagaimanapun kemudian disahkan meninggal dunia.

“Fokus utama operasi SAR kini adalah bagi mengesan seorang lagi mangsa di sekitar lokasi kejadian,” katanya.-METRO

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373