Bursa Malaysia beransur-ansur catat kenaikan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 16 Jan 2023 (The Capital Post): Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit pada Isnin tetapi beransur-ansur meningkat selepas itu, disokong minat belian sederhana yang membabitkan saham wajaran tinggi terpilih selain mengambil petunjuk daripada momentum positif dalam kalangan pasaran serantau, kata peniaga.

Pada 9.25 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 0.75 mata kepada 1,495.78 berbanding penutupan urus niaga Jumaat pada 1,495.03.

Pasaran dibuka 0.22 mata lebih rendah pada 1,494.81.

Pergerakan harga di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 249 berbanding 203, manakala 305 kaunter tidak berubah, 1,445 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 558.12 juta unit bernilai RM198.33 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, sentimen positif di Wall Street pada Jumaat lalu dijangka melimpah ke bursa tempatan.

“Peniaga mungkin menumpukan perhatian kepada saham bertema pembukaan semula China sambil menantikan data inflasi Malaysia serta keputusan kadar faedah Bank Negara Malaysia (BNM) minggu ini,” katanya dalam nota penyelidikan, hari ini.

Bagi komoditi, firma pembrokeran itu menyatakan bahawa harga minyak mentah Brent meningkat melebihi AS$85 setong, manakala harga minyak sawit mentah (MSM) di bawah RM3,850 sekilogram dan harga emas pula melonjak melebihi AS$1,900 seaun.

“Sektor teknologi diunjur menyaksikan momentum pembelian yang meningkat selepas Nasdaq berjaya stabil melebihi paras 11,000.

“Selain itu, pelabur juga boleh menambah pendedahan ke atas saham perbankan menjelang keputusan kadar faedah Malaysia. Memandangkan harga emas turut meningkat, minat dagangan boleh dilihat di kaunter emas,” tambahnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut 2.0 sen kepada RM8.84, CIMB turun 1.0 sen menjadi RM5.77 dan TNB lemah 6.0 sen kepada RM9.42.

Public Bank dan Petronas Chemicals pula tidak berubah, masing-masing pada RM4.33 dan RM5.99.

Bagi saham aktif, Velesto naik setengah sen kepada 18 sen sementara Serba Dinamik dan Eduspce tidak berubah, masing-masing pada 2.0 sen dan 1.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang 12.28 mata kepada 10,798.08, Indeks FBMT 100 mengukuh 11.61 mata menjadi 10,494.18, dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 28.48 mata kepada 11,005.20.

Indeks FBM 70 memperoleh 42.29 mata kepada 13,422.96 dan Indeks FBM ACE meningkat 5.39 mata kepada 5,460.87.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 18.07 mata kepada 16,603.08 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 1.0 mata kepada 186.29.

Indeks Perladangan lebih tinggi 6.73 mata kepada 6,929.64 dan Indeks Tenaga memperoleh 1.23 mata kepada 824.17.

-BERNAMA – BH

(The Capital Post)

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373