Bursa Malaysia dibuka jatuh bawah 1,500 mata

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung selepas ditutup kukuh pada Selasa, menjejaki kemerosotan pasaran saham global semalaman selepas data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang baik mewujudkan kebimbangan mengenai pengetatan dasar monetari yang agresif, kata peniaga.

Pada 9.08 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 15.14 mata kepada 1,496.91 daripada 1,512.05 pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 14.04 mata kepada 1,498.01.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup semalam sempena cuti umum Hari Kemerdekaan.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 286 berbanding 96 manakala 216 kaunter tidak berubah, 1,690 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 232.37 juta unit bernilai RM134.28 juta.

Dalam nota penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd berkata walaupun indeks utama Bursa Malaysia diniagakan positif pada Selasa, pelabur akan terus berhati-hati berdasarkan ketidaktentuan yang berterusan dalam pasaran saham global berikutan sentimen kadar faedah tinggi oleh Rizab Persekutuan AS.

“Kami menjangka cakap-cakap akan berterusan sehingga data Indeks Harga Pengguna yang akan datang dikeluarkan dan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan,” menurut firma broker itu.

Mengenai komoditi, katanya harga minyak mentah diniagakan rendah pada sekitar AS$96 setong berikutan kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi global manakala harga minyak sawit mentah berada melebihi RM4,100.

“Bagi sektor yang menjadi tumpuan, sektor teknologi akan menyaksikan tekanan jualan berikutan Nasdaq merosot di bawah paras 12,000 utama dan pelabur dijangka mengambil keuntungan dalam sektor tenaga berikutan harga minyak mentah merosot dalam keadaan kebimbangan mengenai permintaan yang rendah.

“Bagaimanapun, saham dengan pendapatan kukuh akan menjadi tumpuan, sekurang-kurangnya dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot empat sen kepada RM8.93, Public Bank berkurangan enam sen kepada RM4.65 dan Petronas Chemicals susut 15 sen kepada RM8.65.

CIMB menambah tiga sen kepada RM5.40 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.20.

Daripada saham aktif, Hibiscus merosot empat sen kepada RM1.02 dan UMedic menambah 1.5 sen kepada 69 sen manakala MNC Wireless, Serba Dinamik dan TA Win, masing-masing tidak berubah pada satu sen, tiga sen dan tujuh sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 99.98 mata kepada 10,597.67, Indeks FBMT 100 berkurangan 100.44 mata kepada 10,348.99, FBM 70 susut 105.26 mata kepada 12,607.18, FBM ACE turun 56.42 mata kepada 4,854.02 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 122.24 mata kepada 10,691.22.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan merosot 39.32 mata kepada 7,154.35, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 2.18 mata kepada 180.02, Indeks Tenaga susut 11.59 mata kepada 716.95 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 101.68 mata kepada 16,700.24.

-BERNAMA -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373