Bursa Malaysia dibuka rendah

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kegiatan pengambilan untung menyaksikan Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini di tengah-tengah prestasi bercampur-campur semalaman Wall Street.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.99 mata kepada 1,448.25 daripada 1,451.24 pada penutup Selasa.

Indeks utama memulakan dagangan pagi ini pada paras 1,449.45, turun 1.79 mata.

Pergerakan harga di pasaran secara meluas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 147 berbalas 126, manakala 260 kaunter tidak berubah, 1,732 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 203.32 juta unit bernilai RM89.52 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, Wall Street ditutup bercampur-campur apabila Indeks Dow Jones meningkat kepada 0.2 peratus, tetapi S&P 500 dan Nasdaq masing-masing susut 0.3 peratus dan 0.4 peratus, disebabkan oleh pendapatan korporat yang bercampur-campur.

Di dalam negara, ia berkata PMI Pembuatan S&P Global pula ialah pada 47.8 bagi Julai 2023 dan ini menunjukkan kelembapan berterusan dalam keadaan perniagaan perlu dikekang untuk permintaan kembali pulih.

Mengenai sektor tumpuan, ia berpendapat sektor defensif seperti penjagaan kesihatan, utiliti dan REIT mungkin mendapat perhatian dalam kalangan pelabur sementara sektor teknologi dijangka terjejas oleh kelemahan semalaman Nasdaq.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun empat sen kepada RM8.95, CIMB lebih rendah lima sen menjadi RM5.47, Tenaga Nasional lemah dua sen kepada RM9.53 dan Petronas Chemicals menguncup enam sen kepada RM6.79 manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.12.

Bagi saham aktif, Revenue, Advance Synergy dan Widad masing-masing menambah setengah sen kepada 26.5 sen, 16.5 sen and 43 sen manakala Tanco dan warannya tidak berubah, masing-masing mencatatkan 54.5 sen dan 22.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 18.74 mata kepada 10,639.83, Indeks FBMT 100 susut 18.74 mata menjadi 10,333.71 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 15.20 mata kepada 10,907.59.

Indeks FBM ACE menguncup 13.65 mata kepada 5,293.76 dan Indeks FBM 70 kerugian 14.43 mata kepada 13,956.78.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 6.20 mata kepada 7,138.21, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.43 mata menjadi 167.14 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 47.52 mata kepada 16,144.74.

Bagaimanapun, Indeks Tenaga meningkat 4.64 mata kepada 837.75.

– Bernama

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373