Bursa Malaysia mula dagangan lebih tinggi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mencatatkan peningkatan ketika memulakan dagangan pada pagi Isnin minggu ini, dipacu oleh minat belian diperbaharui membabitkan kaunter berwajaran tinggi berikutan harga saham yang rendah, kata peniaga.

Pada jam 9.16 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.87 mata kepada 1,494.67 berbanding 1,489.80 pada penutupan Jumaat minggu lalu.

Indeks utama dibuka 1.96 mata lebih tinggi pada 1,491.76.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 276 berbalas 215 manakala 338 kaunter tidak berubah, 1,366 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah 437.98 juta unit bernilai RM24.28 juta.

Seiring dengan trend menurun serantau, Malacca Securities Sdn Bhd menyatakan FBM KLCI mengakhiri urus niaga minggu lalu rendah di tengah-tengah kegiatan penjualan yang membabitkan kaunter berwajaran tinggi terpilih di papan indeks.

“Pemulihan di Amerika Syarikat (AS) dan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhiyiddin Yassin pada hujung minggu mengenai kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi warga yang telah menerima vaksin lengkap dijangka memberikan sentimen positif kepada pasaran terutama untuk sektor tema pemulihan,” katanya dalam catatan penyelidikan hari ini.

Sementara itu, ia menambah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua Malaysia yang akan diumumkan pada Jumaat akan menarik perhatian semua.

“Pelabur mungkin fokus pada saham tema pemulihan seperti bahan binaan, pelancongan domestik dan yang berkaitan penerbangan, kerana pasaran sememangnya menantikan pelonggaran SOP bagi mereka yang telah mendapat vaksin lengkap.

“Selain itu, sektor teknologi dijangka terus bertahan di tengah jangkaan pendapatan yang kukuh,” tambahnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing menambah 2.0 sen kepada RM8 dan RM3.96, Petronas Chemicals meningkat 3.0 sen kepada RM8.02, TNB naik 4.0 sen kepada RM9.65, sementara IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.74 .

Bagi saham aktif, DNex dan Avillion masing-masing naik setengah sen kepada 83 sen dan 14.5 sen, TFP Solutions menambah 1.0 sen kepada 20.5 sen dan GUH meningkat 3.5 sen kepada 65 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 32.05 mata pada 10,986.15, FBM ACE memperoleh 0.09 mata kepada 7,176.07, FBM 70 naik 30.25 mata kepada 14,589.43, Indeks FBM Emas Syariah mengembang 22.71 mata kepada 12,058.66, dan Indeks FBMT 100 meningkat 31.52 mata kepada 10,695.15.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 32.51 mata kepada 14,736.97, tetapi Indeks Perladangan menyusut 9.0 mata menjadi 6,116.45, sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.84 mata kepada 189.53.

-BERNAMA -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373