COVID-19: China rekod kematian pertama dalam tempoh 8 bulan

Estimate Reading Time: < 1 minute

BEIJING: China melaporkan kes kematian akibat COVID-19 hari ini, kes pertama dalam tempoh lapan bulan ketika negara itu berusaha membendung lonjakan kes dan bersedia menerima pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

Wilayah di China sebahagian besarnya berupaya mengawal penularan jangkitan menerusi pelaksanaan perintah berkurung yang ketat dan ujian saringan besar-besaran, bagaimanapun sejak beberapa minggu kebelakangan ini mengalami peningkatan kes terutama di bahagian utara negara itu.

Sebanyak 138 jangkitan baharu direkodkan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan hari ini, angka harian tertinggi sejak Mac tahun lalu.

Tiada perincian mengenai kematian terbaru oleh pihak berkuasa kesihatan, kecuali kejadian dilaporkan di wilayah Hebei, di mana kerajaan meletakkan beberapa bandarnya di bawah perintah berkurung.

Minggu lalu, pihak berkuasa melancarkan ujian saringan besar-besaran dan menutup rangkaian pengangkutan, sekolah dan perniagaan di ibu kota Hebei, yang terletak di Shijiazhuang, pusat wabak terbaharu negara itu.

Negeri jirannya, Xingtai yang mempunyai penduduk seramai tujuh juta orang, juga diletakkan di bawah perintah berkurung sejak Jumaat dan begitu juga di bandar Langfang yang mempunyai lima juta penduduk.

Sementara itu semalam, Heilongjiang yang terletak di timur laut mengisytiharkan darurat dan mengeluarkan arahan kepada 37.5 juta penduduknya supaya tidak meninggalkan wilayah itu kecuali mempunyai urusan penting.

Kematian itu berlaku ketika China bersedia menerima kedatangan pasukan pakar dari WHO, yang akan memulakan penyelidikan terhadap asal usul wabak COVID-19.

Tiada kematian baharu dilaporkan di Tanah Besar China sejak Mei tahun lalu, dengan jumlah kematian rasminya berjumlah 4,635 orang. – AFP

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373