Dagangan Bursa Malaysia bermula lebih rendah

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengalami prestasi berbeza daripada kenaikan semalam apabila dibuka rendah pada Selasa, susulan pengambilan untung sederhana muncul dalam saham wajaran tinggi terpilih, kata peniaga.

Pada 9.26 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran susut 0.89 mata kepada 1,549.28 daripada 1,550.17 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks itu dibuka 1.16 mata lebih rendah kepada 1,549.01.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 289 berbanding 175, manakala 336 kaunter tidak berubah, 1,467 kaunter tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 625.64 juta unit bernilai RM207.97 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, bursa tempatan, yang menjejaki prestasi di Wall Street, dijangka dibuka dengan jualan mendadak hari ini memandangkan pasaran mungkin sedia mempertimbangkan risiko selanjutnya dalam persekitaran kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS).

“Namun begitu, kami optimis aktiviti pembelian semasa harga rendah akan kembali menyokong saham wajaran tinggi. Sementara itu, peserta pasaran akan memantau (data) kadar inflasi AS yang dikeluarkan esok,” jelasnya menerusi nota penyelidikan pada Selasa.

Walaupun risiko mungkin tidak berkurangan di kaunter teknologi disebabkan kebimbangan terhadap inflasi dan kenaikan kadar faedah, kebolehlihatan pendapatan yang baik bagi sektor itu akan memberikan sokongan pada horizon pelaburan yang lebih panjang, tambah firma pembrokeran itu.

“Selain itu, kaunter pengguna dan perbankan sewajarnya memperoleh daya tarikan susulan bertemakan pemulihan,” menurutnya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing turun 1.0 sen kepada RM8.33 dan RM5.66, IHH Healthcare susut 3.0 sen kepada RM6.65, Public Bank tidak berubah pada RM4.18 dan Petronas Chemicals meningkat 4.0 sen kepada RM8.94.

Antara saham aktif, MMAG dan Key Alliance masing-masing turun setengah sen kepada 9.5 sen dan 1.0 sen, Techna-X susut 1.0 sen kepada 8.5 sen, dan AHB Holdings meningkat 2.0 sen kepada 27.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas kurang 14.10 mata kepada 11,216.59; Indeks FBM Emas Syariah turun 29.43 mata kepada 11,997.21; FBM 70 susut 49.18 mata kepada 14,173.18; Indeks FBMT 100 susut 13.53 mata kepada 10,909.72 manakala FBM ACE merosot 35.74 mata kepada 6,718.15.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.36 mata kepada 203.30 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 26.95 mata kepada 15,893.28, manakala Indeks Perladangan berkurangan 14.22 mata kepada 6,716.67.

-BERNAMA -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373