Dasar Gaji Progresif dilaksana berperingkat – PM

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Kabinet akan membincangkan Dasar Gaji Progresif bagi memperhalusi pelaksanaannya secara berperingkat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ia juga bagi meneroka keperluan memperuntukkan dana sebagai insentif dasar yang akan ditentukan mengikut kedudukan kewangan kerajaan dan keperluan dasar.

“Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) berbincang mengenai cadangan Dasar Gaji Progresif sebagai satu anjakan ke arah memulihkan pasaran pekerja supaya gaji pekerja dapat ditingkatkan dengan lebih konsisten dan pengagihan gaji lebih seimbang.

“Dasar gaji progresif ini bersifat sukarela, berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti,” katanya menerusi kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat MTEN, hari ini.

Anwar berkata, model itu diusulkan selepas MTEN mengambil kira pandangan dan kepentingan majikan serta pekerja.

Katanya, dasar terbabit adalah pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum yang akan disusuli dengan garis panduan gaji progresif tahunan bagi setiap sektor, pekerjaan dan peringkat.

“Sesi libat urus dan tinjauan awal menunjukkan sebanyak 62 peratus pekerja dan 80 peratus syarikat menyambut baik cadangan Dasar Gaji Progresif dengan ciri-ciri yang dinyatakan.

“MTEN berharap dasar ini akan menerima sambutan dan penyertaan seberapa banyak mungkin syarikat dan pekerja.

“Langkah selanjutnya adalah sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak berkepentingan, terutama pemain industri, perniagaan dan pekerja,” katanya.

Beliau berkata, MTEN berpandangan Dasar Gaji Progresif menjadi reformasi kepada pasaran pekerja untuk memastikan pekerja Malaysia tidak dibebankan dengan kos sara hidup, selain dapat menikmati pekerjaan dengan gaji bermaruah demi kesejahteraan rakyat dan mencapai agenda mengangkat ekonomi negara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Gagasan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang diperkenalkan kerajaan menjadi wadah menetapkan hala tuju negara dalam tempoh sederhana terutama sebagai peneraju ekonomi Asia dan dalam kalangan 30 ekonomi terbesar dunia.

Pada masa sama, katanya, berikutan peratusan pendapatan pekerja Malaysia menurun daripada 37.2 peratus pada 2020 kepada 32.4 peratus pada 2022, kerajaan menetapkan sasaran nisbah terbabit supaya meningkat kepada 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan.

“Isu gaji menjadi perkara pokok tidak boleh diabai lagi. Berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 yang dibentang minggu lalu, lebih dua juta pekerja Malaysia masih berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.

“Situasi ini lebih membimbangkan bagi golongan muda antara umur 20-24 tahun yang mana gaji penengah mereka hanya RM1,682 sebulan.

“Bagi kebanyakan pekerja Malaysia, gaji hanya meningkat kepada RM3,500 pada paras tertinggi sekitar umur 40-49 tahun sepanjang kerjaya mereka,” katanya.

– Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373